top of page
  • Writer's pictureNihaba

Bilik Gerakan PN Kota Melaka Yang Pertama Mula Beroperasi

29 Oktober

TELOK MAS, — BERSATU Kota Melaka mendapat penghargaan antara bahagian pertama di Melaka yang menyediakan Bilik Gerakan Perikatan Nasional (PN) Kota Melaka di DUN Telok Mas, sebelum tirai penamaan calon Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka bermula pada 8 November ini.

Dalam siri jelajah Penerangan BERSATU ke setiap DUN di Melaka baru-baru ini, Ketua Penerangan BERSATU Malaysia Datuk Wan Saiful Wan Jan berkata persiapan bilik gerakan yang lengkap itu menunjukkan PN bersedia menghadapi pilihan raya yang dijadual pada 20 November ini.


“Tahniah kepada Datuk Hishamuddin Abdul Karim selaku Ketua Bahagian BERSATU di Kota Melaka di DUN Telok Mas yang berjaya menyediakan bilik gerakan yang lengkap.

“Nampak kita bersedia menghadapi pilihan raya. Tahniah kepada beliau di atas kesungguhan yang ditunjukkan.

“Begitu juga saya pergi ke bahagian-bahagian lain, kesungguhan yang sama juga ditunjukkan bahawa PN bersedia tawan Melaka. Pengumuman akhir nama-nama calon akan dibuat dalam masa terdekat,” katanya.


Dalam pada itu, Hishamuddin berkata inisiatif menubuhkan bilik gerakan bertujuan bagi memastikan rakyat di DUN Telok Mas mendapat maklumat terperinci mengenai isu-isu semasa di negeri ini.

Ini kerana, katanya, usaha ini digerakkan bersama BERSATU, PAS dan Gerakan.


“Sebagai orang lama di sini, saya mahu rakyat kawasan ini maklum bahawa kita buka bilik gerakan.

“PN tetap bantu rakyat, prihatin dan jaga kebajikan mereka.

“Kita perlu pastikan PN menang di Telok Mas dan di Melaka, secara keseluruhannya,” katanya.

bottom of page