top of page
  • newsatmy

Bina Puri tandatangani PPA dengan SESB bagi projek solar di Sabah

16 Disember 2021

KUALA LUMPUR: Bina Puri Holdings Bhd menerusi anak syarikat milik penuhnya, BP Energy Sdn Bhd (BP Energy) menandatangani perjanjian pembelian tenaga (PPA) dengan Sabah Electricity Sdn Bhd (SESB)

.

Perjanjian bertarikh 1 Disember 2021 itu membabitkan pembangunan ladang solar fotovoltaik (PV) berskala besar dengan kapasiti 5.00 MWa.c di Kampung Dasar, Kunak, Sabah.


Tempoh kontrak PPA adalah selama 21 tahun daripada tarikh operasi komersial yang dijadualkan pada 30 Jun 2023, menurutnya dalam makluman di Bursa Malaysia pada Rabu. Ia akan menyaksikan BP Energy mereka bentuk, membina, menguji, mentauliah, memiliki, mengendali dan menyelenggara fasiliti penjanaan tenaga solar PV itu untuk sambungan ke rangkaian pengagihan voltan sederhana SESB di PMU Kunak.


Pengarah Eksekutif Kumpulan Bina Puri, Datuk Matthew Tee Kai Woon berkata, selepas 4 tahun menerima Surat Penerimaan Tawaran bagi projek ini daripada Suruhanjaya Tenaga (ST), pihaknya amat berbesar hati kerana akhirnya telah menandatangani PPA berkenaan.


Katanya, daripada 10 syarikat yang dianugerahkan di bawah projek solar berskala besar pusingan kedua (LSS2) di Sabah, Bina Puri adalah syarikat pertama yang menandatangani PPA dengan SESB.

"Ini merupakan satu peristiwa penting bagi kumpulan kerana ia adalah projek tenaga pertama Bina Puri di Malaysia, berikutan kejayaan penyenaraian anak syarikat tenaga kami pada Jun 2017 di Bursa Saham Indonesia (IDX).

"Dengan pengumuman ini, kami berharap dapat memperoleh lebih banyak projek tenaga di Malaysia terutamanya Sabah kerana kami juga mempunyai kedudukan yang kukuh dalam sektor lain di sini seperti pembinaan dan pembangunan hartanah,” jelasnya.

Pada 5 Jun 2017, anak syarikat tenaga Bina Puri, PT Megapower Makmur (MPOW), sebuah syarikat jana kuasa elektrik bebas telah disenaraikan di IDX.


MPOW mengendalikan 4 buah loji janakuasa diesel dengan kapasiti 14.0 megawatt di 4 lokasi di seluruh Indonesia dan sebuah loji mini hidro 4.2 megawatt di Sulawesi Selatan, Indonesia.

Bina Puri adalah syarikat berkaitan bukan kerajaan (bukan GLC) pertama yang berjaya disenaraikan di IDX.

*Berita asal di DagangNews.com/Astro Awani

bottom of page