• Arissa Azman

Bintang Squid Game, Jung Ho-yeon kini aktres Korea dengan pengikut paling ramai di Instagram

5 Oktober 2021

PELAKON Squid Game, Jung Ho-yeon kini menjadi pelakon wanita Korea dengan pengikut paling ramai di Instagram, dengan lebih 13 juta pengikut.


Sebelum Squid Game menjadi buah mulut peminat pertengahan September lalu, Jung hanya mempunyai 400,000 pengikut.


Jung mengatasi pelakon Lee Sung-kyung, yang sebelumnya memegang gelaran itu dengan 12.9 juta pengikut, dan Song Hye-kyo yang mempunyai 12 juta pengikut.


Dalam satu temu bual dengan Herald Pop baru-baru ini, dia yang juga seorang model menyifatkan pertambahan pengikut itu satu bentuk penghargaan buat hasil kerjanya.


"Pada mulanya, saya sangat terkejut. Setiap kali saya buka aplikasi Instagram, saya dapati jumlahnya bertambah.


"Saya fikir ia terjemahan penghargaan orang ramai terhadap Squid Game, dan saya bersyukur.


"Memikirkan begitu ramai yang memberikan saya sokongan, ia membuatkan saya semakin bersemangat," ujarnya.


Membuat kemunculan pertama sebagai pelakon, Jung berterima kasih dengan kepercayaan dan peluang yang diberikan kepadanya.


"Lakonan saya masih banyak kekurangan. Tetapi saya beruntung kerana dikelilingi pelakon dan kru yang bagus, secara tidak langsung ia mempengaruhi tahap lakonan saya," tambahnya.