top of page
  • zaman

BN menang besar PRN Melaka, tapi berkecamuk – Che’gu Bard


HANG TUAH JAYA, 8 Jan: Aktivis Parti BERSATU, Badrul Hisham Shaharin berkata, walau pun Umno-BN menang besar dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka sebelum ini namun mereka berkecamuk dan tidak tenang.


Beliau yang lebih dikenali sebagai Che’gu Bard menambah, ini berbeza dengan situasi dalaman Perikatan Nasional (PN) negeri yang berada dalam keadaan lebih tenang walau kalah dalam pilihan raya tersebut.

“Melaka ni unik. Walaupun dah sudah pilihan raya, tapi orang kita (PN) bertenang. Yang tak tenang dia orang (Umno-BN). Bergolak tak sudah-sudah. Dari sebelum pilihan raya sampai lepas pilihan raya.

“Bayangkan Negeri Melaka, menang besar Umno-BN (pada PRN15), tetapi pukul 3 pagi angkat sumpah (Ketua Menteri). Maknanya apa? Maknanya kamu bermasalah,” ujar beliau.

Beliau merujuk kepada situasi terkini politik Negeri Melaka berkaitan desas-desus perselisihan dalaman Umno-BN melibatkan Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Utama Sulaiman Md Ali dan Pengerusi Perhubungan Umno Melaka, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh.

“Lepas tu hari ini, (setelah) beberapa hari ini kamu berkocak dah beramuk apa semua, sampai gantung banner, gantung bunting, kerja dia (Umno-BN). Tiba-tiba dah terbongkar sampai isu MARRIS. Bukan kita bongkar. Tak sempat kita bongkar, dia dah bongkar sesama sendiri,” ujarnya.


Menurut beliau setelah isu-isu ini terbongkar dan agensi penguatkuasaan seperti SPRM sudah mula membuka mata, maka kedua-dua individu ini terpaksa membuat sidang media menafikan wujudnya perselisihan antara mereka.

“Hakikat sebenarnya ialah Umno ni dah sampai hujung usia. Tinggal lagi nak mati ni tak tahu macam mana, nak ‘buka atap’ ke, nak ‘buang air tempayan basuh kaki’ ke?

“Sahabat-sahabat Umno kita ni sebenarnya ramai yang bagus. Tetapi yang memegang tampuk Umno itu pada hari ini ialah orang yang mempercepatkan Umno itu untuk menuju ke kuburnya,” ujarnya lagi.


Katanya lagi, bukan sahaja di Melaka, masalah yang sama melibatkan Umno-BN seperti ini juga berlaku di Sabah apabila mereka berusaha untuk menjatuhkan Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor.


Tambah Che’gu Bard, krisis Sabah juga telah menyebabkan hubungan antara Anwar Ibrahim dan Zahid Hamidi menjadi renggang akibat keengganan PH untuk menyokong langkah Umno-BN dan Warisan ini.


“Kerana itu kita kata, saya sebut selepas sahaja kita gagal membentuk kerajaan (Persekutuan), sabar dan bersangka baik dengan qada dan qadar.

“Sabar dan bersangka baik dengan ketentuan. Mereka sedang menggali kubur mereka sendiri. Dan mereka akan jatuh dalam keadaan mereka sedang kacau bilau,” katanya lagi.

Che’gu Bard berkata demikian semasa berceramah di dalam majlis ceramah politik pasca PRU15 anjuran PAS Kawasan Hang Tuah Jaya yang berlangsung di Dewan Muallim di sini, malam tadi (Sabtu, 7 Januari).


Turut berceramah ialah Timbalan Pesuruhjaya-1 PAS Melaka, Bakri Jamaluddin, Ketua Bahagian Bersatu Hang Tuah Jaya, Mohd Azrudin Md Idris dan Yang Dipertua PAS kawasan, Ramli Dalip.

bottom of page