• newsatmy

BN tolak Ahmad Maslan sebagai setiausaha agung, satu lagi tamparan pada Zahid

3 Mac 2021

Barisan Nasional (BN) menolak cadangan agar Ahmad Maslan dilantik sebagai setiausaha agung, menunjukkan trend cengkaman Umno terhadap gabungan itu semakin lemah, kata sumber kepada MalaysiaNow.


Difahamkan keputusan itu dibuat semasa mesyuarat Dewan Tertinggi BN pada 4 Mac di mana pemimpin Umno, MCA dan MIC membincangkan cadangan BN bergerak bersendirian pada pilihan raya umum akan datang.


Ahmad yang juga setiausaha agung Umno, dilantik untuk menggantikan Annuar Musa yang disingkirkan sebagai setiausaha agung BN pada Januari.


Ahmad dilihat sebagai antara ahli Parlimen Umno termasuk presidennya Ahmad Zahid Hamidi dan bekas perdana menteri Najib Razak yang mendesak BN untuk tidak bekerjasama denngan Bersatu dan Perikatan Nasional (PN) pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).


Ketiga-tiganya berdepan dengan pendakwaan rasuah.


Pemilihan Ahmad bagi meneruskan tradisi dalam BN yang mana setiausaha agung Umno akan memegang jawatan sama dalam gabungan itu.


Mengikut konvensyen, presiden Umno dan timbalannya juga akan dilantik sebagai pengerusi dan timbalan pengerusi BN.


“Akan tetapi disebabkan peningkatan ketidak puasan hati dalam kalangan parti komponen terhadap kepimpinan Zahid, MCA dan MIC enggan bersetuju dengan undang-undang tidak bertulis membenarkan presiden Umno membuat keputusan seperti pelantikan Ahmad,” kata sumber yang mengetahui tentang perbincangan Dewan Tertinggi BN.


MalaysiaNow sudah menghubungi Ahmad tetapi tiada sebarang respons.


Penolakan terhadap Ahmad merupakan kali kedua pilihan Zahid untuk jawatan setiausaha agung tidak dipersetujui pemimpin BN.


Pada 2019, MCA dan MIC membantah pelantikan Ahli Parlimen Padang Rengas Nazri Aziz sebagai setiausaha agung BN.


Nazri yang pada Januari mengumumkan tidak lagi menyokong Perdana Menteri Muhyiddin Yassin, juga merupakan pilihan Zahid.


Timbalan Presiden Umno Mohamad Hasan yang memangku jawatan pengerusi BN pada ketika itu melantik semula Tengku Adnan Tengku Mansor sebagai setiausaha agung gabungan itu sebelum jawatan itu diisi oleh Annuar.