top of page
  • Farah

BNM, MAS lancar pautan pembayaran kod QR rentas sempadan


KUALA LUMPUR, 31 Mac - Bank Negara Malaysia (BNM) dan Penguasa Monetari Singapura (MAS) melancarkan pautan pembayaran kod QR rentas sempadan antara Malaysia dan Singapura. Rangkaian pembayaran itu akan membolehkan pelanggan institusi kewangan yang mengambil bahagian membuat pembayaran runcit dengan mengimbas kod QR DuitNow dan NETS QR. Bank pusat itu berkata, pautan pembayaran kod QR DuitNow-NETS merupakan pencapaian penting dalam kerjasama berterusan antara Malaysia dan Singapura untuk meningkatkan ketersambungan pembayaran rentas sempadan.

Gabenor BNM, Tan Sri Nor Shamsiah Mohd Yunus berkata pautan pembayaran kod QR rentas sempadan adalah langkah ke hadapan yang penting dalam merealisasikan visi rangkaian sistem pembayaran runcit Asean yang pantas, cekap dan saling berhubung kait. "Hubungan QR antara Malaysia dan Singapura akan memberi manfaat kepada berjuta-juta penumpang merentasi Tambak dalam urusan perniagaan dan percutian. "Ini juga akan menjadi rangsangan kepada perniagaan runcit di kedua-dua negara. Kami akan terus bekerjasama rapat dengan rakan kongsi kami untuk mempercepatkan agenda pendigitalan kami ke arah peningkatan penyepaduan ekonomi dan kewangan serantau," katanya menerusi kenyataan. Tambah BNM, inisiatif itu adalah bukti komitmen kedua-dua negara untuk menambah baik kos, kelajuan, akses dan ketelusan pembayaran rentas sempadan, sejajar dengan Inisiatif Ketersambungan Pembayaran Asean dan Pelan Hala Tuju G20 untuk Meningkatkan Pembayaran Rentas Sempadan. Perkhidmatan ini diwujudkan melalui kerjasama kukuh pelbagai pemain industri dari kedua-dua negara, termasuk Payments Network Malaysia Sdn Bhd (PayNet), Network for Electronic Transfers (Singapore) Pte Ltd (NETS), Persatuan Bank-Bank di Singapura dan syarikat kewangan yang mengambil bahagian dari kedua-dua negara. Dalam fasa seterusnya, BNM dan MAS merancang untuk mengembangkan pautan pembayaran bagi membolehkan pemindahan dana akaun ke akaun merentas sempadan dan kiriman wang yang akan membolehkan pengguna membuat pemindahan dana masa nyata antara Malaysia dan Singapura dengan mudah menggunakan telefon bimbit penerima melalui DuitNow dan PayNow.


bottom of page