• zaman

Bolehkah bekam untuk keluarkan darah kotor?


RAMAI juga yang beranggapan bekam itu boleh mengeluarkan darah kotor akibat dari kencing manis. Rupa-rupanya mereka silap dalam membuat perkiraan kerana apabila melakukan proses bekam yang tidak yang mengikut SOP yang sepatutnya boleh menyebabkan jangkitan kuman kepada tapak bekam.


Sudah banyak kes yang kami temui akibat dari silap perhitungan dalam mengambil kaedah rawatan sebegini, berakhir dengan jangkitan yang teruk dan pembedahan terpaksa dilakukan.


Cabaran yang besar dialami pesakit adalah mereka masih lagi belum sedar mengenai keseriusan penyakit yang mereka alami.


Dengan keadaan seteruk ini pun terdapat segelintir daripada mereka yang cuba untuk menolak rawatan moden yang ditawarkan kepada mereka termasuk pembedahan dan pemberian ubat-ubatan moden.


Katanya mereka sanggup bertawakal dengan terus menerus menggunakan kaedah tradisi termasuk bekam dan ubat-ubatan yang belum tentu ditentusahkan bahawa boleh merawat diri mereka.


Ya mungkin jika mereka selamat tidak mempunyai kesan komplikasi yang lebih teruk termasuk merebaknya kuman ke seluruh badan mereka akhirnya mungkin sembuh dalam satu tempoh yang agak lama.


Nama terpaksa melalui proses penyembuhan yang begitu menyeksakan bagi mereka berbanding dengan rawatan yang dijalankan di hospital atau klinik dengan pemberian antibiotik dan ubat untuk mengawal gula dalam darah. Proses penyembuhan insya-Allah akan lebih cepat.


Kes-kes sebegini jugalah menjadi cabaran kepada kami kerana biasanya mereka akhirnya akan datang dalam keadaan yang agak teruk untuk mendapatkan rawatan yang sepatutnya.


Tawakal itu adalah benar dengan menyerahkan kuasa penyembuhan kepada Allah S.W.T. Namun Islam tidak menolak untuk berikhtiar mencari kaedah untuk menyembuh kesakitan. Bukannya salah kita berakidah yang sedemikian.


Kalau hanya sekadar untuk menggentel tasbih dan membaca ayat-ayat syifaa semata-mata tanpa mengambil usaha untuk menyembuhkan penyakit yang dialami, ianya tidak bertepatan dengan konsep tawakal itu sendiri sebenarnya.


DR SUHAZELI ABDULLAH

Pakar Perubatan Keluarga

Sarjana (Master of Medicine) dalam pengkhususan Perubatan Keluarga Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM)