Boling Remaja Asia:Shaqeem Izwan raih emas
KUALA LUMPUR 16 Ogos: Pemain boling muda negara, Shaqeem Izwan Teh Shahrul Hafiz Teh memulakan kempen Kejohanan Remaja Asia Ke-21 2022 dengan cemerlang apabila meraih emas dalam acara perseorangan remaja lelaki di Bangkok, Thailand, semalam.
Beliau melakukan jatuhan 1,435 pin selepas enam permainan untuk muncul juara di Blu-O Rhythm and Bowl, Major Ratchayothin.
Atlet berusia 18 tahun itu menewaskan wakil Taiwan Lan Shao Kang (1,407) dan Abdulrahman Alkandari (1,406) dari Kuwait, sementara rakan negara Airel Amri Suhaimi (1,300), Syabil Azam Saymsul (1,286) dan Izz Naqiuddin Putera Islahuddin (1,285) masing-masing menamatkan saingan di tempat ke-16, ke-18 dan ke-19.
Dalam kategori remaja perempuan pula, Adiana Mohd Redzwan (1,198) dan Anis Hanani Romzi (1,185) masing-masing terlepas pingat dan menamatkan permainan di tempat kelima dan keenam.
Nur Aqila Aini Mohammed Faiz (1,107) dan Nurul Hanis Nabila Mohd Nizam (1,097) masing-masing ketinggalan dan berada di kedudukan ke-13 dan ke-15.
Singapura menguasai dua tempat teratas podium menerusi Ashley Victoria Lok (1,334) dan Shirlene Wong Xue Lin (1,300) yang masing-masing meraih emas dan perak sementara wakil tuan rumah Ramita Sarntong (1,289) membawa pulang gangsa.
-- BERNAMA
Comments