• newsatmy

Boustead Plantations catat untung bersih RM42.95 juta bagi tahun kewangan 2020

25 Mac 2021

KUALA LUMPUR: Boustead Plantations Bhd (BPB) kembali meraih keuntungan dengan mencatatkan keuntungan bersih sebanyak RM42.95 juta bagi tahun kewangan berakhir 31 Dis, 2020 berbanding kerugian bersih RM144 juta pada tahun kewangan 2019.


Hasil meningkat kepada RM763.04 juta daripada RM577.2 juta sebelumnya, kata syarikat itu dalam makluman kepada Bursa Malaysia pada Rabu.


BPB berkata wilayah Semenanjung Malaysia meraih keuntungan segmen sebanyak RM86.8 juta bagi tahun itu, peningkatan sebanyak RM50.9 juta daripada keuntungan RM35.9 juta pada tahun sebelumnya.


Menurut syarikat tersebut, keuntungan lebih tinggi itu selaras dengan peningkatan pemangkasan tandan buah segar pada tahun itu iaitu sebanyak 390,775 tan metrik berbanding 373,930 tan metrik pada 2019 serta harga produk kelapa sawit yang lebih tinggi.


Selain itu, wilayah Sabah mencatatkan keuntungan segmen sebanyak RM60.6 juta pada tahun tersebut berbanding kerugian RM36.4 juta pada 2019.


"Pengeluaran tandan buah segar sebanyak 506,253 tan adalah lebih tinggi berbanding 494,343 tan metrik pada tahun sebelumnya.


"Harga jualan yang lebih tinggi juga penyebab utama peningkatan prestasi itu," katanya.


Sementara itu, kerugian segmen wilayah Sarawak sebanyak RM8.0 juta adalah 62 peratus lebih rendah daripada kerugian sebanyak RM21.3 juta pada tahun sebelumnya.


Dalam kenyataan berasingan, Ketua Pegawai Eksekutif BPB Ibrahim Abdul Majid berkata pengeluaran tanaman dan harga minyak sawit mentah (MSM) akan terus menyokong prestasi kumpulan itu.


Beliau berkata, meskipun pengeluaran minyak sawit global dijangka pulih pada 2021, inventori minyak sawit yang terhad ketika ini dijangka meningkatkan harga MSM bagi suku pertama tahun ini.


"Bekalan terhad itu kemungkinan mereda pada separuh kedua tahun ini, dengan pengeluaran dijangka meningkat mengatasi paras pada tahun sebelumnya apabila inventori pulih," katanya.


"Ini bergantung kepada beberapa faktor, termasuk keadaan cuaca, setakat mana tahap penyusutan tanaman serta sama ada kekurangan tenaga kerja akan bertambah buruk jika sekatan baharu dilaksanakan," katanya.


Menurutnya, harga MSM akan terus dipengaruhi oleh perubahan struktur cukai import dan eksport negara pengguna dan pengeluar serta kedinamikan permintaan dan penawaran global minyak boleh dimakan yang bersaing.


"Bagaimanapun, dengan program pemvaksinan COVID-19 kerajaan yang kini sedang dilaksanakan secara berperingkat, ini sudah pastinya memberi petanda yang baik kepada operasi perladangan untuk kembali normal," katanya.


-- BERNAMA

Langgani Buletin Kami

  • White Facebook Icon

© 2020 by EPS Digital Tech Sdn Bhd.