• newsatmy

BPMB lantik Nazir Razak sebagai pengerusi baharu

23 April 2021

KUALA LUMPUR: Bank Pembangunan Malaysia Bhd (BPMB) melantik Datuk Seri Nazir Razak sebagai pengerusi bukan eksekutif baharunya berkuat kuasa serta-merta.


Beliau menggantikan Datuk Zaiton Mohd Hassan yang bersara pada Februari 2021 selepas berkhidmat selama dua tahun.


Dalam kenyataan pada Khamis, BPMB berkata Nazir merupakan rakan pengasas dan pengerusi Ikhlas Capital yang juga firma ekuiti swasta ASEAN serta berpengalaman luas dalam bidang perbankan, termasuk sebagai pengerusi CIMB Group Holdings Bhd selama empat tahun dan menyandang tugas ketua pegawai eksekutif kumpulan (GCEO) bagi tempoh 15 tahun sebelum itu.


Nazir juga pernah berkhidmat sebagai pengarah bukan eksekutif Khazanah Nasional Bhd selama empat tahun dan ahli panel pelaburan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja selama 15 tahun.


Mengulas pelantikan itu, Presiden/GCEO BPMB, Arshad Mohamed Ismail mengalu-alukan kehadiran Nazir yang disifatkan beliau sebagai amat berpengalaman.


"Pengalaman luas beliau dalam bidang perbankan dan kewangan akan menjadi aset penting untuk BPMB dalam meneruskan usaha membangunkan negara ini.


"Malah, saya juga teruja untuk bekerjasama dengan beliau," katanya.


Sementara itu, Nazir berkata beliau berbesar hati kerana diberi peluang berkhidmat dalam sebuah institusi kerajaan seperti BPMB yang juga institusi pembangunan kewangan penting dalam menyokong syarikat serta projek-projek berkaitan pertumbuhan sosioekonomi.


-- BERNAMA