top of page
  • newsatmy

Buat 'self-lockdown' elak jangkitan - Perdana Menteri

24 Mei 2021

KUALA LUMPUR: Tan Sri Muhyiddin Yassin meminta rakyat melakukan sekatan pergerakan kendiri atau self-lockdown untuk menyekat peningkatan mendadak COVID-19, yang menyaksikan bilangan jangkitan harian kini mencecah lebih 6,000 kes setiap hari.


Perdana Menteri juga menasihati rakyat supaya mengingatkan orang lain untuk berbuat perkara sama kerana apapun usaha kerajaan tidak akan berkesan jika rakyat tidak patuh kepada prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan.


"Ada yang asyik tanya kenapa tak buat total lockdown? Do your own lockdown, buat self-lockdown, stay at home and tell others to do the same thing kerana apapun usaha yang dibuat tidak akan berkesan jika rakyat tidak patuh kepada SOP ditetapkan.


"Sebaiknya kita bekerjasama, tak payah nak salah-menyalahkan, cari jalan, berdoa semoga kita diberikan perlindungan dan dengan usaha ini insya-Allah, kita akan menang," katanya dalam program Bicara Khas Cabaran Pandemik COVID-19 yang disiarkan RTM dan BERNAMA TV malam tadi.


Perdana Menteri berkata, pertimbangan antara hidup dan kehidupan, perlu diambil kira memutuskan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bagi memastikan rakyat tidak terkesan teruk dengan langkah-langkah yang diambil kerajaan.


Disebabkan itu katanya, kerajaan memutuskan tidak melaksanakan total lockdown seperti PKP 1.0 ketika ini kerana ia akan menjejaskan kehidupan rakyat dan menyebabkan lebih ramai yang hilang pekerjaan, selain ketidakupayaan bangkit memulihkan kehidupan dan ekonomi.


"Memang kalau ikutkan saya, KKM kata memang itu yang terbaik Tan Sri...tapi kesan kepada negara, kalau rakyat tak bekerja, ekonomi dah runtuh nak bangunkan semula (seperti PKP 1.0), saya (kerajaan) terpaksa belanja RM340 bilion dengan enam pakej rangsangan.


"Itu bukan jumlah yang sedikit, tak pernah berlaku dalam (sejarah) negara. 20 peratus Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) negara kita gunakan untuk menolong rakyat. Ini yang rakyat harus faham. Kalau buat begitu (tutup semua sektor ekonomi) kita akan hadapi masalah yang lebih besar, nanti negara tak boleh nak bangkit," katanya.


Muhyiddin berkata, penutupan semua sektor ekonomi ketika PKP1.0 pada 18 Mac sehingga 3 Mei 2020 bagi mengekang penularan COVID-19 bukan sahaja menyebabkan negara kerugian kira-kira RM2.4 bilion setiap hari, tetapi ramai rakyat kehilangan pekerjaan selain peniaga kecil turut terjejas teruk.


Katanya, jika kerajaan 'membawa semula' PKP1.0, negara berkemungkinan memerlukan sehingga RM500,000,000,000 atau setengah trilion ringgit bagi membantu rakyat dan merangsang semula ekonomi negara.


"Boleh tutup (semua sektor ekonomi), tapi bila buka balik nanti mungkin sistem itu dah runtuh kerana kita kena buka semula i-sinar, beri bantuan Prihatin, moratorium dan lain-lain, mampukah kerajaan tanggung lagi? Boleh tapi tak sebanyak mana.


"Saya tak nak lihat rakyat saya terkorban hanya kerana kelekaan saya atau mereka. Saya juga tidak mahu ekonomi kita runtuh," katanya dan menambah disebabkan itu kerajaan membuat keputusan memperketatkan SOP PKP 3.0 seperti diumumkan Menteri Kanan (Kluster Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, kelmarin.


Perdana Menteri menegaskan, usaha melandaikan keluk COVID-19 adalah tanggungjawab setiap lapisan masyarakat dengan berkata: "terima hakikat ini masalah bersama, pendekatan kita bukan "whole of government, it is whole of society".


Enam pakej rangsangan yang diumumkan kerajaan sebelum ini adalah Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin Rakyat (PRIHATIN) membabitkan peruntukan RM250 bilion pada Mac 2020 dan Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin Rakyat (PRIHATIN Tambahan) sebanyak RM10 bilion pada April 2020.


Pada Jun tahun sama, kerajaan mengumumkan Pelan Jana Semula Ekonomi Negara (PENJANA) membabitkan perbelanjaan RM35 bilion, selain Pakej Kerangka Inisiatif Tambahan Prihatin (KITA Prihatin) dengan peruntukan RM10 bilion pada September lalu.


Pada Januari tahun ini, kerajaan mengumumkan Pakej Bantuan Perlindungan Ekonomi dan Rakyat Malaysia (PERMAI) bernilai RM15 bilion serta Program Strategik Memperkasa Rakyat dan Ekonomi (PEMERKASA) dengan peruntukan RM20 bilion pada Mac lalu.



--BERNAMA

bottom of page