• Arissa

Buka Parlimen: 'We will see you soon' - Timbalan Speaker

29 Jun 2021

KUALA LUMPUR: Sesi sembah maklum kedua-dua Speaker Dewan Rakyat Datuk Azhar Azizan Harun dan Speaker Dewan Negara Tan Sri Rais Yatim di Istana Negara berakhir kira-kira 12 tengah hari tadi.


Difahamkan kedua-dua Speaker telah meninggalkan perkarangan Istana Negara melalui Pintu Satu.


Timbalan Speaker Dewan Rakyat Datuk Seri Mohd Rashid Hasnon memberitahu media bahawa Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri' ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah telah bertitah mengenai ruang lingkup kuasa Baginda sewaktu Darurat, serta keperluan mengikuti nasihat Perdana Menteri mengenai pembukaan Parlimen.


Bagaimanapun tiada perincian diberikan mengenai sesi yang berlangsung kira-kira satu jam itu.


“We will see you (media) soon semasa kita buka Parlimen, sama ada secara biasa atau hibrid,” katanya ringkas.


Media difahamkan akan ada kenyataan susulan dari Parlimen mengenai pertemuan itu.


Sesi sembah maklum kepada Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri' ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah ini merupakan rentetan kepada siri-siri pertemuan Baginda dengan ketua-ketua parti politik serta pegawai-pegawai tertinggi Kerajaan Persekutuan sebelum ini.


Azhar dan Rais dijangka menyampaikan dapatan dan kajian mereka kepada Tuanku tentang tarikh pembukaan Parlimen secara hibrid selaras dengan peruntukan Perlembagaan Persekutuan dan Proklamasi Darurat.


Selain itu, media juga difahamkan, mereka juga telah menyampaikan keperluan mengadakan sidang khas kedua-dua Dewan bagi membolehkan sesi Parlimen Hibrid dijalankan.



--Awani