top of page
  • admin

"Bukan hanya tau cakap sahaja,baik bantu"-Rina Harun


SUNGAI BULOH, 15 Sept – Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Rina Mohd Harun menggesa semua pihak tidak mempolitikkan isu wanita sebagai “suka bangun lambat” yang tular baru-baru ini.


Beliau berkata seharusnya semua pihak termasuk pemimpin politik melihat isi kandungan penuh program ‘Wanita Bangkit’ yang dianjurkan oleh Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM).


“Saya kira dalam waktu sekarang kita jangan nak politikkan semua benda.

“Kena lihat isi kandungan program tersebut. Apa penting ramai (wanita) memerlukan pembelaan dan perlu dibantu,” katanya.


Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas melawat dan meninjau kesiapsiagaan Depoh Simpanan Keperluan Bencana (DSKB) Sungai Buloh dalam menghadapi Monsun Timur 2022/2023, pada Rabu.


Dalam pada itu, Rina juga mengajak Ahli Parlimen Segambut, Hannah Yeoh atau mana-mana pihak bersama-sama membantu wanita yang memerlukan bantuan.

“Saya harap kalau Hannah Yeoh atau sesiapa sahaja nak bantu kita alu-alukan untuk sama-sama bantu wanita yang memerlukan.


“Bukan tahu cakap sahaja tetapi tidak melaksanakan,” katanya.

Terdahulu, Rina dikritik hebat oleh pemimpin pembangkang dan UMNO susulan video terbaru menteri terbabit yang dianggap merendah-rendahkan wanita.


Tular satu video yang dimuat naik Rina di media sosial memaparkan beliau dan pegawai KPWKM bersama pelakon dan usahawan, Datuk Rosyam Nor yang menyifatkan golongan wanita sebagai ”suka bangun lambat”.


Rosyam, yang mengajak orang ramai menghadiri Program Keusahawanan Wanita Bangkit@KPWKM di Pusat Dagangan Dunia (WTC) bermula semalam, turut berkata akan “membelasah” mereka yang berjumpanya.


Semalam, Hannah yang juga bekas timbalan menteri pembangunan wanita, keluarga dan masyarakat berkata, beliau sedih melihat agensi dan kumpulan sasar di bawah kementerian itu dipergunakan Rina untuk tujuan promosi.


Sementara itu, Rina berkata kenyataan Rosyam berhubung ‘wanita bangun lambat’ itu adalah cara pelakon itu sendiri.


Katanya, apa yang penting sasaran program itu melebihi jangkaan peserta yang hadir di WTC semalam.

“Yelah yang itu cara Rosyam Noor. Kita bagi tahu kena tengok program itu sendiri. Video itu dikeluarkan sehari sebelum program.


“Pogram sasar 1,000 hadir. Tetapi pada hari tersebut yang hadir 1,600 orang. Maksudnya sampai buka satu dewan lagi untuk tampung kehadiran luar jangkaan,” katanya.


Katanya, peserta hadir dalam program Wanita Bangkit itu menunjukkan mereka menyahut kata-kata orang luar terhadap mereka.


“Bila mereka ini dalam keadaan susah dengan apa mereka hadapi sekarang ditambah orang kata macam-macam, hina kita. Itu baru Rosyam kata.


“Bila orang hina kita, bila orang cakap kita, tetapi kita buktikan dan jadikan bahawa kita boleh. Sebenarnya kita lebih hebat lagi.


“Sebenarnya kita adalah wanita cekal, tabah dan boleh melonjak dengan lebih jauh. Kena tegok dari sudut positif,” katanya.

bottom of page