• newsatmy

"Bukan rampasan kuasa, tiada perintah berkurung"

12 Januari 2021


PUTRAJAYA: Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, Pilihan Raya Umum (PRU), Pilihan Raya Negeri (PRN) dan Pilihan Raya Kecil (PRK) tidak akan diadakan sepanjang tempoh darurat dilaksanakan.



Beliau berkata, tindakan itu bagi mengelakkan penularan jangkitan COVID-19 seperti mana yang terjadi selepas PRN Sabah baru-baru ini.



"Dalam keadaan biasa, PRK mesti diadakan dalam tempoh 60 hari selepas kerusi diisytiharkan kosong.



"PRN juga mesti diadakan dalam tempoh 60 hari selepas Dewan Undangan Negeri (DUN) dibubarkan.



"Sedangkan kita tahu, rakyat pada masa ini tidak mahu sebarang pilihan raya diadakan untuk mengelakkan wabak COVID-19 merebak seperti yang berlaku selepas PRN Sabah baru-baru ini." katanya ketika menyampaikan Pengumuman Khas Darurat di sini sebentar tadi



Muhyiddin berkata, beliau tidak berniat untuk tidak mengadakan pilihan raya sebaliknya, perkara utama yang menghalangnya daripada menasihati Seri Paduka Baginda agar membubarkan Parlimen untuk membolehkan PRU diadakan ialah pandemik COVID-19.



"Keputusan untuk tidak mengadakan pilihanraya semasa pandemik COVID-19 masih menular ini adalah selaras dengan satu daripada lima prinsip Maqasid Syariah iaitu menjaga nyawa atau hifz al-nafs.



"Dalam konteks ini, adalah menjadi kewajipan saya sebagai Ketua Kerajaan untuk menjaga nyawa rakyat dengan melindungi saudara dan saudari sekalian daripada jangkitan COVID-19.



"Ini adalah kemaslahatan paling utama yang dituntut oleh agama Islam," ujarnya.



Sementara itu, beliau menzahirkan komitmen tegas bahawa PRU akan diadakan sebaik sahaja Jawatankuasa Khas Bebas yang akan ditubuhkan memperakukan bahawa wabak COVID-19 telah reda atau pulih sepenuhnya dan pilihan raya adalah selamat untuk diadakan.



"Pada masa itu, terpulanglah kepada rakyat untuk memilih kerajaan mana yang layak untuk mentadbir negara ini dan menjaga kebajikan saudara dan saudari sekalian. Inilah komitmen dan akujanji saya yang akan saya tunaikan, insya-Allah," katanya lagi.