top of page
StrangePlay

Buku “Muhyiddin Yassin: Leading a Nation in Unprecedented Crisis” dilancar


Assalamualaikum wbt,

YB Tan Sri Azhar Azizan Harun, Yang di-Pertua Dewan Rakyat telah merasmikan buku “Muhyiddin Yassin: Leading a Nation in Unprecedented Crisis.”, hasil karya sahabat saya Datuk Abdul Mutalib Razak, bekas Pengerusi Media Prima dan diterbitkan oleh Yayasan Pendidikan Islam.


Membelek halaman dalam buku yang baharu diterbitkan itu, saya terkenang, pahit manis, jerit perih yang pernah kita semua lalui bersama ketika berhadapan dengan pandemik Covid-19. Pandemik ini benar-benar telah menguji kekentalan semangat dan kecekalan rakyat Malaysia, daya tahan ekonomi dan kapasiti sistem kesihatan kita.


Sebagai pemimpin No. 1 negara ketika Covid-19 diisytihar sebagai satu pandemik global, banyak keputusan yang sukar yang terpaksa saya ambil untuk kepentingan rakyat jelata. Sebagai Perdana Menteri ketika itu, saya perlu menyeimbangkan tuntutan menyelamatkan nyawa (live) dan kehidupan (livelihood) rakyat. Tiada panduan, atau “playbook” yang boleh menjadi rujukan, mana-mana pemimpin negara ketika itu untuk berhadapan dengan krisis seperti ini.


Namun alhamdulillah, berkat sokongan dan kerja sepasukan daripada ahli-ahli kabinet dan kakitangan kerajaan, kita telah berjaya mengemudi negara dari awal pandemik, ke akhirnya menyediakan Pelan Pemulihan Negara yang sistematik di mana negara mampu keluar dengan teratur dan selamat daripada pandemik dan beralih ke fasa endemik.

Pada hemat saya, 3 cabaran utama dalam respon pandemik adalah:

  1. Masa dan kepantasan respon kita mengejar masa kerana kadar penularan virus ini ternyata cepat. Jika kita tidak bertindak tepat pada masa, ramai yang akan menjadi mangsa. Namun pada masa yang sama, kita juga tidak tahu banyak mengenai virus ini, sifatnya, dan tiada panduan khusus bagaimana untuk menangani pandemik pada skala ini. Kecekapan, kesungguhan, dan semangat petugas-petugas barisan hadapan itu penting.

  2. Kapasiti kesihatan awam dan teknologi membangunkan vaksin Pengurusan kapasiti itu penting dan kita perlu memastikan bilangan katil, ventilator dan staf perubatan adalah mencukupi dan sistem kesihatan awam tidak runtuh. Saya secara khusus ingin merakamkan ucapan tahniah kepada seluruh petugas barisan hadapan yang telah bekerja keras dan berkorban masa dan tenaga bukan sahaja untuk merawat pesakit-pesakit Covid-19, tetapi juga telah melaksanakan program vaksinasi dengan jayanya.

  3. Kedudukan kewangan negara Apabila kita memutuskan untuk melaksanakan PKP dan sektor ekonomi ditutup kecuali perkhidmatan perlu, Kerajaan harus terus membantu rakyat dan perniagaan untuk terus bertahan. Baik bantuan tunai, subsidi upah mahupun bakul makanan, moratorium pinjaman bank dan pengecualian sewa premis milik Kerajaan, Kerajaan berusaha membantu seramai mungkin mereka yang terkesan melalui 8 pakej rangsangan ekonomi yang berjumlah lebih RM 530 billion. Ini termasuk membeli vaksinasi dan memulakan Program Immunisasi Covid Kebangsaan (PICK) yang terbesar dan terpantas dalam sejarah negara dengan jayanya.


Sudah tentu, tidak semua yang dilakukan ketika saya memimpin Kerajaan itu sempurna. Namun, saya dan rakan-rakan dalam barisan kepimpinan kerajaan pada masa itu telah berusaha melakukan sebaik mungkin.


Setiap kudrat saya ketika itu adalah untuk mencari ikhtiar menyelamatkan rakyat dan mengurangkan bebanan yang ditanggung. Seperti yang saya sering ingatkan ketika itu, untuk menangani pandemik ini kita memerlukan pendekatan “whole of nation” di mana semua jentera Kerajaan digerakkan, bersama sektor swasta dan segenap lapisan masyarakat untuk melindungi diri dan keluarga.


Alhamdulillah, berkat usaha semua kita berjaya keluar dari fasa pandemik dan beralih ke fasa endemik kini. Semangat juang setiap rakyat Malaysia dalam memerangi Covid-19 ini perlu digembleng sekali lagi dalam kita berusaha memulihkan negara pasca-pandemik.

Saya sentiasa berdoa dan berharap, agar Malaysia tidak mengalami ujian segetir pandemik Covid-19 ini di masa hadapan. Namun, jika kita masih perlu berhadapan suatu pandemik kelak, kita harus membuat persedian yang secukupnya.


Kerajaan perlu terus melabur meningkatkan kapasiti kesihatan awam, menguruskan kewangan negara dengan baik supaya kita sentiasa mempunyai ruang fiskal untuk membantu rakyat di waktu kecemasan dan memastikan pemimpin kita bersedia dan berani melakukan keputusan yang benar dan tepat walaupun tidak popular demi kepentingan negara dan rakyat.


Syukuri segala nikmat yang ada kini dan ingat pengorbanan setiap daripada kita ketika pandemik. Pelajari pengajaran detik hitam sejarah negara ini untuk menjadikan kita lebih cekal, yakin dan berani melangkah di masa hadapan.

Alfatihah kepada mereka yang kehilangan nyawa akibat pandemik Covid-19 dan semoga Allah swt sentiasa mencucuri rahmat ke atas roh mereka semua, insyaAllah. Amin ya rabbal alamin.


Tan Sri Muhyiddin Yassin adalah Presiden BERSATU dan Pengerusi Majlis Pemulihan Negara (MPN).

Comments


bottom of page