top of page
  • newsatmy

Bursa Malaysia berakhir positif minggu ini

27 Mac 2021 KUALA LUMPUR: Bursa Malaysia mengakhiri dagangan Jumaat ketika pasaran meraih momentum susulan wujudnya tanda-tanda pemulihan ekonomi global selain sentimen optimis membabitkan hubungan Washington-Beijing.


Pada jam 5 petang, indeks petunjuk utama FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) menokok 3.69 mata kepada paras 1,601.42 mata daripada 1,597.73 mata yang dicatatkan pada Khamis.


Indeks penanda aras itu memulakan dagangan pada Jumaat dengan meraih 1.01 mata kepada 1,598.74 dan berlegar sekitar 1,593.24 hingga 1,603.01 sepanjang sesi dagangan hari terakhir minggu ini.


Di pasaran meluas, kaunter untung mengatasi rugi iaitu 696 berbanding 345 manakala 461 kaunter lain tidak berubah, 730 tidak diniagakan dan 45 lain digantung dagangannya.


Jumlah dagangan susut kepada 5.96 bilion saham bernilai RM3.24 bilion daripada 6.01 bilion saham bernilai RM3.04 bilion pada Khamis.


Sementara itu, Ahli Ekonomi Bank Islam Malaysia Bhd, Adam Mohamed Rahim, berkata pemulihan ekonomi menjadi tumpuan pelabur ketika data Jabatan Tenaga Kerja AS menunjukkan maklumat tuntutan bantuan pengangguran susut ke paras terendah dalam tempoh setahun bagi minggu berakhir 19 Mac 2021.


Ini sekali gus memaparkan bahawa ekonomi terbesar dunia itu berada di landasan tepat untuk mencatat pertumbuhan lebih tinggi apabila keadaan kesihatan awamnya kembali pulih.


Dalam pada itu, Duta China ke AS, Cui Tiankai, menegaskan bahawa China tidak berhasrat untuk mengambil kedudukan AS sebagai negara utama dunia.


Bercakap dalam temu bual bersama hos stesen CNN, Christiane Amanpour, beliau berkata China sebaliknya berhasrat memenuhi harapan rakyatnya untuk menikmati kehidupan lebih baik dan usaha menggantikan kedudukan AS itu bukanlah agenda nasional.


Di peringkat tempatan, Adam berkata pasaran pada Jumaat turut menyaksikan prestasi saham wajaran tinggi perbankan yang mencatat peningkatan.


Mengikut sektor, indeks berkaitan pengangkutan dan logistik naik sebanyak 1.8 peratus, didorong oleh saham pengendali pelabuhan seperti MMC Corporation dan Westports Holdings ketika Pelabuhan Klang serta Pelabuhan Tanjung Pelepas dikatakan mengalami impak minimum susulan insiden sebuah kapal kontena terkandas dan menyekat laluan Terusan Suez - laluan perdagangan dan perkapalan terpenting dunia.

Indeks berkaitan kaunter perbankan menyaksikan Maybank dan PBBank masing-masing naik dua sen kepada RM8.25 dan RM4.19, HLB untung 10 sen kepada RM18.78 namun CIMB turun dua sen kepada RM4.44.


Bagi indeks berkaitan pengangkutan dan logistik, Westports meraih 17 sen kepada RM4.50 manakala kaunter paling aktif, MMC menambah tujuh sen kepada RM1.07.

Saham aktif lain menyaksikan Fintec tidak berubah pada tujuh sen, Matang meningkat 1.5 sen kepada 12.5 sen, Widad naik 5.5 sen kepada 55.5 sen, Komark meningkat 4.5 sen kepada 36 sen, DNex susut 1.5 sen kepada 94.5 sen manakala Saudee rugi 9.5 sen kepada 40.5 sen.


Di papan indeks, Indeks FBM Emas menambah 41.94 mata kepada 11,778.29, FBMT 100 naik 34.37 mata kepada 11,443.98, FBM Emas Shariah menokok 36.56 mata kepada 13,078.16 manakala FBM ACE melonjak 154.27 mata kepada 10,517.11 dan FBM 70 meraih 77.59 mata kepada 15,550.46.


Mengikut sektor, Indeks Perladangan meningkat 18.10 mata kepada 7,100.45, Indeks Perkhidmatan Kewangan naik 52.33 mata kepada 15,300.29 namun Indeks Produk dan Perkhidmatan Perindustrian merosot 0.06 mata kepada 191.41.


Jumlah dagangan di Pasaran Utama berkurangan kepada 3.55 bilion saham bernilai RM2.52 bilion daripada 3.83 bilion saham bernilai RM2.48 bilion pada Khamis.

Jumlah waran meningkat kepada 274.27 juta unit bernilai RM50.24 juta daripada 248.34 juta unit bernilai RM43.18 juta, sebelum ini.


Di Pasaran ACE, jumlah dagangan melonjak kepada 2.13 bilion saham bernilai RM666.76 juta daripada 1.93 bilion saham bernilai RM516.15 juta.


Selain itu, produk dan perkhidmatan pengguna menyumbang sebanyak 699.01 juta saham yang didagangkan di Pasaran Utama manakala produk dan perkhidmatan perindustrian (1.04 bilion), pembinaan (185.22 juta), teknologi (522.64 juta), SPAC (sifar), perkhidmatan kewangan (73.09 juta), hartanah (427.52 juta), perladangan (50.83 juta), REIT (5.78 juta), dana tertutup (32,100), tenaga (255.23 juta), penjagaan kesihatan (28.50 juta), telekomunikasi dan media (72.63 juta), pengangkutan dan logistik (163.84 juta) serta utiliti (27.34 juta). -BERNAMA

bottom of page