• newsatmy

Bursa Malaysia beri lanjutan satu bulan untuk penerbitan laporan kewangan

22 Mei 2021

KUALA LUMPUR: Bursa Malaysia Bhd telah memberikan lanjutan satu bulan secara automatik untuk penerbitan laporan suku tahun dan tahunan untuk Pasaran Utama dan Pasaran ACE serta penyata kewangan setengah tahun dan diaudit untuk Pasaran LEAP, masing-masing pada 31 Mei, 2021 dan 30 Jun, 2021.


Pengecualian itu diberi selepas mempertimbangkan kesan akibat Perintah Kawalan Pergerakan 3.0 (PKP 3.0) dari 12 Mei hingga 7 Jun, 2021 kepada penerbit tersenarai.


Dalam satu kenyataan pada Jumaat, Bursa Malaysia berkata sejak Mac 2020, pihaknya telah melaksanakan pelbagai langkah bantuan untuk melonggarkan kepatuhan peraturan dan membantu penerbit yang tersenarai untuk menghadapai waktu yang mencabar ini dalam persekitaran pandemik COVID-19 serta memastikan objektif dan tujuan kerangka peraturan berkenaan tercapai.


"Walaupun diberi lanjutan selama satu bulan, penerbit tersenarai diingatkan untuk mematuhi kewajiban pendedahan di bawah Syarat Penyenaraian.


"Ini termasuk membuat pengumuman segera mengenai sebarang maklumat penting untuk memastikan pemegang saham dan pelabur dapat mengakses maklumat tepat pada masanya," katanya.


-- BERNAMA