top of page
  • newsatmy

Bursa Malaysia dibuka rendah

16 April 2021

KUALA LUMPUR: Dagangan di Bursa Malaysia dibuka rendah pada urus niaga pagi Jumaat dengan indeks utama menyusut walaupun sentimen pasaran secara keseluruhan positif berikutan kemunculan kegiatan pengambilan untung menjelang cuti hujung minggu.


Pada jam 9.04 pagi, indeks penanda aras FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) turun 3.89 mata kepada 1,604.36 daripada 1,608.25 ketika penutupan urus niaga petang Khamis.

Indeks utama dibuka 0.81 mata lebih lemah pada 1,607.44.


Kaunter sarung tangan getah kebanyakannya menyusut pagi ini kerana pelabur mengambil kesempatan mengaut keuntungan berikutan kenaikan kukuh semalam, dengan Top Glove turun enam sen kepada RM5.38, Hartalega jatuh 11 sen kepada RM9.89 dan Supermax merosot 10 sen kepada RM5.00.


Di pasaran meluas bagaimanapun, kaunter untung mengatasi rugi dengan 231 berbalas 158, sementara 1,470 kaunter tidak berubah, 320 tidak diniagakan dan 27 yang lain digantung.


Jumlah dagangan ialah 827.88 juta saham bernilai RM423.2 juta.


Menurut Malacca Securities Sdn Bhd, walaupun indeks utama mungkin meningkat lebih tinggi seiring dengan kenaikan semalaman di Wall Street, kebimbangan mengenai kemungkinan gelombang keempat melanda negara akan terus menjejaskan sentimen pelabur dengan kes yang disahkan setiap hari telah mencecah paras 2,000 semalam.


FBM KLCI, bagaimanapun, berakhir lebih tinggi semalam, didorong oleh minat belian di kaunter sarung tangan kerana kes COVID-19 global terus melonjak tinggi.


"Kami menjangkakan minat belian susulan di kaunter sarung tangan memandangkan peningkatan kes COVID-19 yang disahkan setiap hari di negara ini dan di seluruh dunia.

"Selain itu, sentimen positif di Nasdaq yang melepasi tahap 14,000 mungkin melimpah ke saham teknologi pasaran tempatan," katanya.


Wall Street ditutup lebih kukuh pada urus niaga Khamis dengan S&P 500 mencatatkan paras tertinggi sepanjang masa dan Purata Perindustrian Dow Jones mengatasi paras 34,000 untuk pertama kalinya, dirangsang oleh keputusan kewangan dan data ekonomi yang kukuh.


Di pasaran tempatan, saham berwajaran tinggi, Maybank turun satu sen kepada RM8.29, Public Bank susut dua sen kepada RM4.21, Petronas Chemicals jatuh lima sen kepada RM7.86 sementara Tenaga dan Petronas Chemicals tidak berubah, masing-masing pada RM10.12 dan RM5. 35.


Bagi kaunter aktif pula, Lambo tidak berubah pada dua sen, Jadi dan G3 masing-masing turun satu sen kepada 11 sen dan 20.5 sen dan WZ Satu naik empat sen kepada 20 sen.


Di papan indeks, Indeks FBM Emas turun 10.57 mata pada 11,841.26, FBM Emas Syariah merosot 6.2 mata kepada 13,245.25, FBMT 100 susut 14.1 mata kepada 11,494.75 dan FBM ACE jatuh 30.14 mata kepada 8,833.16.


Bagaimanapun, FBM 70 memperoleh 33.81 mata kepada 15,734.2.


Mengikut sektor, Indeks Perladangan turun 5.39 mata kepada 6,924.98, Indeks Perkhidmatan Kewangan susut 18.77 mata kepada 15,091.31 sementara Indeks Produk dan Perkhidmatan Perindustrian menambah 0.01 mata kepada 196.42.


-BERNAMA

bottom of page