top of page
  • zaman

Bursa Malaysia dibuka rendah, pelabur masih dalam kebimbangan


KUALA LUMPUR,19 Sept: Bursa Malaysia memulakan urus niaga pagi ini rendah selepas cuti hujung minggu Hari Malaysia yang panjang, menyaksikan para pelabur masih mengambil sikap berhati-hati berikutan kerugian berterusan di Wall Street pada Jumaat yang didorong oleh kebimbangan terhadap kenaikan kadar Rizab Persekutuan Amerika Syarikat (AS), kata seorang peniaga.


Pada jam 9.15 pagi, indeks penanda aras FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) jatuh sebanyak 14.50 mata kepada 1,452.81 daripada penutupan Khamis pada 1,467.31.

Indeks penanda aras dibuka 7.80 mata lebih rendah pada 1,459.51.

Di pasaran yang lebih luas, kaunter rugi mengatasi kaunter untung 347 berbalas 102, manakala 256 kaunter tidak berubah, 1,668 tidak diniagakan dan 17 yang lain digantung.

Jumlah dagangan adalah sebanyak 250.12 juta unit bernilai RM178.96 juta.


Dalam nota penyelidikan hari ini, Malacca Securities Sdn Bhd berkata sentimen menjadi agak goyah sebelum cuti panjang hujung minggu lepas dengan semua tumpuan terarah kepada mesyuarat Rizab Persekutuan Amerika Syarikat bulan September serta data kadar inflasi Malaysia yang akan dikeluarkan minggu ini.


Justeru, bursa tempatan mungkin terus menyaksikan dagangan mendatar, begitu juga bursa serantau yang lain, katanya.


Berkenaan komoditi pula, ia menambah harga minyak mentah didagangkan melebihi US$91 setong, manakala minyak sawit mentah berlegar di bawah RM3,900.


Sementara itu, dalam kalangan saham wajaran tinggi, Maybank dan CIMB Bank masing-masing naik tiga sen kepada RM8.61 dan RM5.40, Petronas Chemicals meningkat lima sen kepada RM8.67, Public Bank susut satu sen kepada RM4.46 dan IHH Healthcare turun 25 sen kepada RM6.07.


Bagi saham aktif, Top Glove susut tiga sen kepada 73.5 sen, RGB lega setengah sen kepada 11.5 sen dan Supermax lemah dua sen kepada 71 sen.

SNS Network Technology pula menokok setengah sen kepada 30.5 sen, manakala Metronic tidak berubah pada dua sen.


Di papan indeks, Indeks Emas FBM turun 99.56 mata menjadi 10,375.02, Indeks FBMT 100 menyusut 97.56 mata kepada 10,117.09, Indeks FBM Emas Syariah lebih rendah sebanyak 107.0 mata kepada 10,471.82, FBM 70 menguncup 108.04 mata kepada 12,619.54 dan FBM ACE 59.33 mata lebih rendah pada 4,774.42.


Mengikut sektor, Indeks Tenaga berkurangan 5.5 mata pada 732.12, Indeks Perladangan susut 3.47 mata menjadi 6,854.65, Indeks Perkhidmatan Kewangan turun 133.81 mata kepada 16,357.67 dan Indeks Produk dan Perkhidmatan Perindustrian lemah 0.94 mata kepada 180.53.

-- BERNAMA

bottom of page