top of page
admin

Bursa Malaysia dibuka tinggi dipacu data inflasi AS yang lebih baik


KUALA LUMPUR,14 Dis: Bursa Malaysia dibuka tinggi sedikit hari ini, mengikuti rapat kenaikan di Wall Street semalaman.


Peningkatan Wall Street didorong oleh data inflasi Amerika Syarikat (AS) yang menggalakkan di tengah-tengah sentimen berhati-hati yang berlarutan, kata seorang penganalisis.


Pada 9.10 pagi, penanda aras FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) meningkat 2.58 mata kepada 1,472.70 daripada penutupan semalam pada 1,470.12. Pasaran memulakan dagangan pagi ini dengan menyaksikan indeks utama naik 1.77 mata untuk mencapai paras 1,471.89.

Pergerakan harga di pasaran secara keseluruhan menyaksikan kaunter untung mengatasi kaunter rugi 220 berbanding 107, manakala 216 kaunter tidak berubah, 1,730 tidak diniagakan dan 13 yang lain digantung.


Jumlah dagangan adalah sebanyak 168.04 juta unit bernilai RM79.43 juta.

Naib Presiden Penyelidikan Ekuiti Rakuten Trade Sdn Bhd Thong Pak Leng berkata Wall Street berakhir dalam zon positif apabila indeks harga pengguna (IHP) AS lebih rendah daripada unjuran, justeru, ramai menjangkakan Rizab Persekutuan AS akan kurang agresif dalam menaikkan lagi kadar faedah.

Di pasaran tempatan pula, beliau berkata bursa dijangka diniagakan dalam julat yang ketat, seiring dengan pasaran serantau.

"Kami mengunjurkan indeks FBM KLCI berada dalam aliran julat 1,470-1,485.

"Selain itu pembelian dijangka tertumpu kepada kaunter minyak dan gas berikutan pemulihan harga minyak mentah yang dirangsang oleh pelonggaran sekatan COVID-19 di China," katanya kepada Bernama.

Dalam kalangan saham wajaran tinggi, Maybank tidak berubah pada RM8.75, Public Bank naik dua sen kepada RM4.37, CIMB menokok satu sen kepada RM5.77 dan TNB menambah enam sen kepada RM9.27, manakala Petronas Chemicals susut satu sen menjadi RM8.47.

Bagi saham aktif, SNS mengembang dua sen kepada 27 sen, Borneo Oil dan Dataprep tidak berubah masing-masing pada 2.5 sen dan 25.5 sen, Advance Synergy meningkat setengah sen kepada 17.5 sen dan YX Precious meraih 1.5 sen kepada 23 sen.

Di papan indeks, Indeks FBM Emas mengukuh 15.22 mata menjadi 10,594.76, Indeks FBMT 100 naik 14.35 mata kepada 10,296.95, Indeks FBM Emas Syariah lebih tinggi 34.90 mata kepada 10,742.71 dan FBM 70 meraih 3.32 mata menjadi 13,009.32.

Bagaimanapun, FBM ACE turun sedikit sebanyak 0.25 mata kepada 5,494.65.

Mengikut sektor, Indeks Perkhidmatan Kewangan menguncup 16.98 mata kepada 16,555.15, manakala Indeks Perladangan memperoleh 29.86 mata menjadi 6,715.80, Indeks Produk dan Perkhidmatan Perindustrian meningkat 0.38 mata kepada 180.99 dan Indeks Tenaga naik 5.35 mata kepada 790.07.

-- BERNAMA


Comments


bottom of page