• Farah

Bursa Malaysia dibuka tinggi pagi ini


KUALA LUMPUR, 27 Sept- Bursa Malaysia melantun semula untuk bergerak lebih tinggi pada sesi awal dagangan pagi ini, sejajar dengan prestasi kebanyakan pasaran serantau. Pada pukul 9.25 pagi, penanda aras FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) meningkat 6.82 mata atau 0.48 peratus kepada 1,419.86 daripada 1,413.04 pada penutup urus niaga Isnin. Bagaimanapun, indeks utama itu dibuka 0.18 mata lebih rendah pada 1,412.86. Pergerakan harga di pasaran secara keseluruhan adalah positif dengan kaunter untung mengatasi rugi 240 berbanding 144, manakala 241 kaunter tidak berubah, 1,772 tidak diniagakan dan 20 yang lain digantung Jumlah dagangan adalah sebanyak 336.26 juta unit bernilai RM179.32 juta Malacca Securities Sdn Bhd berpendapat bursa tempatan dijangka menyaksikan keadaan tidak menentu yang kian meruncing berikutan kebimbangan terhadap kemelesetan ekonomi global apabila Wall Street merosot dengan lebih ketara dalam pasaran yang begitu lemah. "Sektor tenaga dan perladangan juga mungkin berdepan jualan selanjutnya kerana harga komoditi masih meneruskan pergerakan menurun. Sebaliknya, memandangkan ringgit telah susut melepasi RM4.60 berbanding dolar AS, kami percaya ia akan memberi manfaat kepada syarikat berorientasikan eksport sekurang-kurangnya untuk jangka masa terdekat,” kata firma pembrokeran itu dalam nota penyelidikan hari ini.


Dalam kalangan saham wajaran tinggi, Maybank menambah satu sen kepada RM8.60, Public Bank, Petronas Chemicals dan CIMB semuanya naik dua sen kepada RM4.30, RM8.34 dan RM5.32, manakala IHH Healthcare meningkat empat sen kepada RM5.99 dan Hong Leong Bank menokok dua sen kepada RM20.60. Bagi saham saham aktif, syarikat yang baharu disenaraikan di Pasaran Ace, PT Resources mengukuh 1.5 sen kepada 37.5 sen, Cnergenz melonjak tujuh sen kepada RM1.09, Top Glove naik satu sen kepada 64.5 sen, Harvest Miracle susut satu sen kepada 13.5 sen dan Velesto turun setengah sen kepada 11.5 sen. Di papan indeks, Indeks FBM Emas melebar 39.34 mata kepada 10,133.04, FBM 70 meningkat 24.32 mata menjadi 12,294.59, dan Indeks FBMT 100 memperoleh 40.79 mata kepada 9,880.25. Indeks FBM Emas Shariah pula meraih 51.75 mata kepada 10,203.71 manakala FBM ACE mengembang 11.45 mata kepada 4,672.57. Mengikut sektor, Indeks Tenaga 1.69 mata lebih tinggi pada 684.04, Indeks Perladangan naik 52.76 mata kepada 6,654.93, Indeks Perkhidmatan Kewangan mengukuh 23.33 mata pada 16,112.52, dan Indeks Produk dan Perkhidmatan Perindustrian naik 0.77 mata untuk mencapai paras 170.67.- BERNAMA