• newsatmy

Bursa Malaysia ditutup teramat rendah, terjejas oleh peningkatan ketara kes COVID-19

20 Mei 2021

KUALA LUMPUR: Bursa Malaysia terus menyusut untuk mengakhiri urus niaga petang ini teramat rendah, terjejas disebabkan oleh peningkatan ketara kes penularan COVID-19 di dalam negara dengan 6,075 kes baharu hari ini.


Indeks penanda aras FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) bagaimanapun berjaya mengurangkan kerugiannya meskipun ditutup 10.8 mata lebih rendah pada 1,580.52 berbanding 1,591.32 ketika ditutup pada urus niaga Selasa.


Indeks utama yang dibuka lemah sebanyak 0.10 mata pada 1,591.22, berlegar antara 1,574.28 dan 1,591.32.


Pergerakan harga di keseluruhan pasaran juga negatif dengan kaunter rugi mengatasi untung 905 berbalas 228 manakala 335 kaunter tidak berubah, 736 tidak diniagakan dan tujuh yang lain digantung.


Menurut ahli ekonomi Bank Islam Malaysia Bhd Adam Mohamed Rahim, dalam situasi sentimen pasaran yang lemah, kaunter sarung tangan muncul sebagai penerima manfaat paling ketara berikutan lonjakan kes baharu COVID-19.


Hartalega melonjak 36 sen kepada RM9.91, Supermax naik 38 sen kepada RM5.02 dan Top Glove mengukuh 11 sen kepada RM5.45.


Ketua Jualan Ekuiti Rakuten Trade Vincent Lau berkata perbincangan mengenai sekatan pergerakan yang lebih ketat di Selangor sebagai langkah untuk membendung penularan pandemik selanjutnya telah menjejaskan sentimen pasaran.


"Namun begitu, kami menjangkakan kegiatan membeli ketika harga saham murah akan muncul keesokan harinya," kata beliau kepada Bernama.


Saham berwajaran tinggi yang lain, Public Bank tidak berubah pada RM4.19, Maybank turun 11 sen kepada RM8.28, Petronas Chemicals susut 14 sen kepada RM7.98, TNB berkurangan dua sen kepada RM9.97, IHH Healthcare kerugian tujuh sen kepada RM5.28 dan CIMB merosot sembilan sen kepada RM4.20.


Dalam kalangan kaunter cergas pula, LKL International naik 5.5 sen kepada 40.5 sen, Careplus meningkat 38 sen kepada RM2.72, Tuju Setia yang mula disenaraikan di pasaran utama menambah empat sen kepada 74 sen, Adventa melonjak 44 sen kepada RM2.51, Focus Dynamics tidak berubah pada enam sen dan Dagang Nexchange turun 6.5 sen kepada 70.5 sen.


Di papan indeks, Indeks FBM Emas lemah 111.25 mata pada 11,493.9, Indeks FBMT 100 susut 96.55 mata kepada 11,183.81, dan FBM ACE turun 96.46 mata kepada 7,721.14.


Indeks FBM Emas Syariah turun 105.32 mata kepada 12,824.05 dan FBM 70 kehilangan 205.79 mata kepada 14,769.35.


Mengikut sektor, Indeks Perkhidmatan Kewangan menyusut 138.78 mata kepada 14,872.95, Indeks Perladangan turun 51.88 mata kepada 6,908.78 sementara Indeks Produk dan Perkhidmatan Industri merosot 4.08 mata kepada 191.94.


Jumlah dagangan di Pasaran Utama turun sedikit kepada 3.30 bilion saham bernilai RM3.07 bilion daripada 3.66 bilion saham bernilai RM2.68 bilion pada Selasa.


Jumlah dagangan waran pula menyusut kepada 268.17 juta unit bernilai RM28.28 juta berbanding 269.87 juta unit bernilai RM25.94 juta semalam.


Jumlah dagangan di Pasaran ACE meningkat kepada 2.17 bilion saham bernilai RM935.85 juta daripada 1.90 bilion saham bernilai RM447.87 juta sebelumnya.


Produk dan perkhidmatan pengguna menguasai 477.67 juta saham yang diniagakan di Pasaran Utama, produk dan perkhidmatan industri (689.88 juta), pembinaan (296.27 juta), teknologi (640.37 juta), SPAC (sifar), perkhidmatan kewangan (68.35 juta), hartanah ( 376.57 juta), perladangan (54.61 juta), REIT (7.01 juta), dana tertutup (1,000), tenaga (326.74 juta), penjagaan kesihatan (182.56 juta), telekomunikasi dan media (86.81 juta), pengangkutan dan logistik (74.50 juta) dan utiliti (19.30 juta).


- BERNAMA