• newsatmy

Bursa Malaysia ditutup tinggi

17 Oktober-KUALA LUMPUR

Bursa Malaysia mengakhiri dagangan minggu ini dengan lebih tinggi pada Jumaat, didorong oleh peningkatan yang merentasi hampir semua papan terutama sektor perbankan.

Prestasi memberangsangkan itu juga seiring dengan perkembangan di pasaran serantau susulan petunjuk positif semalaman Wall Street.

Bernama melaporkan, pada jam 5 petang ini, indeks petunjuk utama FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) naik 5.76 mata kepada 1,598.28 daripada 1,592.52 pada akhir dagangan Khamis.


Indeks penanda aras itu menokok 2.65 mata kepada 1,595.17 sewaktu pasaran dibuka dan bergerak dalam jajaran 1,592.67 hingga 1,599.76 sepanjang dagangan hari ini.

Sentimen pasaran adalah positif dengan kaunter untung mengatasi rugi iaitu 628 berbanding 418 manakala 464 kaunter lain tidak berubah, 779 tidak didagangkan dan 17 lain digantung dagangannya.

Jumlah dagangan meningkat kepada 4.96 bilion unit bernilai RM3.00 bilion daripada 4.17 bilion unit bernilai RM2.85 bilion pada Khamis.

Naib Presiden Penyelidikan Ekuiti Rakuten Trade Sdn Bhd, Thong Pak Leng, berkata pelabur ternyata optimis terhadap pendapatan korporat Amerika Syarikat (AS) serta data tenaga kerja yang lebih baik daripada dijangkakan.


Menurut Jabatan Buruh AS, jumlah tuntutan bagi ganjaran pengangguran pada minggu lepas buat pertama kalinya susut di bawah angka 300,000 dalam tempoh setahun.

Malah, 293,000 tuntutan yang dicatatkan pada minggu lepas adalah yang terendah sejak Mac 2020, sekali gus mendorong peningkatan pasaran saham AS.

Dalam pada itu, harga minyak mentah Brent yang juga penanda aras global mencecah hampir AS$85 setong susulan terdapatnya tanda-tanda peningkatan permintaan serta dalam persekitaran jumlah bekalan yang terhad.

Menurut Agensi Tenaga Antarbangsa, masalah kekurangan gas asli telah mendorong permintaan terhadap minyak mentah.


Di peringkat pasaran tempatan, sentimen kekal kukuh berikutan sikap optimis paras pelabur.

“Kami menjangkakan indeks itu akan kekal positif di masa-masa akan datang berikutan kehadiran semula dana-dana asing,” katanya.

Saham wajaran tinggi menyaksikan Axiata dan RHB Bank naik sembilan sen masing-masing kepada RM4.10 and RM5.75, MISC menambah 11 sen kepada RM7.26, Genting Malaysia meraih lima sen kepada RM3.21 dan Sime Darby naik empat sen kepada RM2.35.

Hartalega sebaliknya kerugian 20 sen kepada RM6.02 dan Top Glove susut tiga sen kepada RM2.76.

Bagi saham aktif, Kanger International, Jadi Imaging dan Serba Dinamik masing-masing susut setengah sen kepada lima sen, 12 sen dan 38 sen.

Hibiscus Petroleum meningkat tiga sen kepada 94.5 sen dan Brahims rugi 22 sen kepada 24 sen.


Di papan indeks, Indeks FBM Emas naik 58.71 mata kepada 11,768.87, Indeks FBMT 100 menambah 56.08 mata kepada 11,406.74.94, Indeks FBM Emas Syariah menokok 68.42 mata kepada 12,877.01, FBM 70 melonjak 134.49 mata kepada 15,444.56 dan FBM ACE meraih 24.95 mata kepada 7,186.31.

Mengikut sektor, Indeks Perkhidmatan Kewangan menambah 49.53 mata kepada 15,705.46, Indeks Produk dan Perkhidmatan Perindustrian naik 0.78 mata kepada 212.94 dan Indeks Perladangan meraih 43.19 mata kepada 7,040.04.

Jumlah dagangan di Pasaran Utama bagaimanapun berkurangan kepada 2.86 bilion saham bernilai RM2.57 bilion berbanding 2.94 bilion saham bernilai RM2.47 bilion pada Khamis.

Selain itu, jumlah waran melonjak kepada 463.32 juta unit bernilai RM64.75 juta berbanding 198.00 juta unit bernilai RM18.84 juta, semalam.


Di Pasaran ACE, jumlah dagangannya turut meningkat kepada 1.63 bilion saham bernilai RM365.70 juta daripada 938.35 juta saham bernilai RM284.93 juta sebelumnya.

Kaunter produk dan perkhidmatan pengguna menyumbang sebanyak 730.75 juta saham diniagakan di Pasaran Utama manakala produk dan perkhidmatan perindustrian (704.80 juta), pembinaan (135.96 juta), teknologi (297.41 juta), SPAC (sifar), perkhidmatan kewangan (52.28 juta), hartanah (251.92 juta), perladangan (34.85 juta), REIT (10.91 juta), dana/tutup (34,300), tenaga (473.20 juta), penjagaan kesihatan (48.06 juta), telekomunikasi dan media (26.71 juta), pengangkutan dan logistik (79.60 juta) serta utiliti (11.94 juta).