top of page
  • admin

Bursa Malaysia kekal rendah


KUALA LUMPUR, 8 Mac- Dagangan Bursa Malaysia kekal lebih rendah pada sesi urus niaga tengah hari ini kerana kekurangan pemangkin positif untuk memacu pasaran. Pada waktu rehat tengah hari, indeks penanda aras FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) turun 5.61 mata kepada 1,453.06 berbanding penutupan semalam pada 1,458.67. Indeks utama dibuka pada paras 1,455.47, turun 3.20 mata pada 1,455.47 dan berlegar antara 1,451.08 dan 1,458.63 pada sepanjang sesi pagi. Pergerakan harga di pasaran secara keseluruhan adalah negatif menyaksikan kaunter rugi mengatasi saham untung 548 berbalas 228, manakala 343 kaunter tidak berubah, 1,124 tidak diniagakan dan 11 yang lain digantung. Jumlah dagangan adalah sebanyak 1.49 bilion unit bernilai RM892.01 juta. Menurut Malacca Securities Sdn Bhd, pelabur mungkin mengubah fokus pada sektor yang lebih defensif di tengah -tengah ketidaktentuan yang semakin meningkat di pasaran sambil menantikan keputusan mengenai kedudukan kadar faedah Bank Negara Malaysia esok. "Sektor perbankan, amanah pelaburan hartanah dan sektor pengguna boleh menarik tumpuan ekoran situasi turun naik yang kian ketara di pasaran global. "Sebaliknya, sektor teknologi dijangka menyaksikan beberapa jualan berikutan kelemahan semalaman di Wall Street, dengan komposit Nasdaq merosot 1.25%," katanya.


Wall Street ditutup rendah selepas pengerusi Rizab Persekutuan Amerika Syarikat (AS) Jerome Powell mencadangkan agar kadar faedah perlu lebih tinggi dan lama dalam laporan kewangan separuh tahunan Persekutuan kepada Kongres AS. Saham wajaran tinggi Bursa Malaysia - Public Bank turun satu sen kepada RM4.12, Petronas Chemicals menguncup empat sen kepada RM7.20, Tenaga lemah dua sen menjadi RM9.36, Maybank tidak berubah pada RM8.68, manakala CIMB menambah satu sen kepada RM5.56. Dalam kalangan saham aktif, Icon Offshore dan Progressive Impact masing-masing susut setengah sen kepada sembilan sen dan 13.5 sen, Pharmaniaga menokok dua sen kepada 33 sen, Capital A menambah 6.5 sen menjadi 83.5 sen manakala ATA IMS mengukuh tiga sen kepada 31.5 sen. Di papan indeks, indeks FBM EMAS menguncup 43.39 mata kepada 10,587.97, indeks FBM 70 jatuh 58.24 mata kepada 13,440.71 manakala Indeks FBMT 100 merosot 40.81 mata kepada 10,266.04. Indeks FBM Emas Syariah pula berkurangan 66.31 mata kepada 10,833.16 dan Indeks FBM ACE merosot 60.41 mata kepada 5,426.08. Mengikut sektor, Indeks Perkhidmatan Kewangan menyusut 0.29 mata kepada 16,115.99, Indeks Perladangan merosot 82.56 mata menjadi 6,927.44 dan Indeks Tenaga turun 7.30 mata kepada 888.02, manakala Indeks Produk dan Perkhidmatan Perindustrian berkurangan 1.23 mata kepada 176.58. -BERNAMA

bottom of page