top of page
  • admin

Bursa Malaysia pamer dagangan kukuh pada sesi awal urus niaga


KUALA LUMPUR, 12 Jan- Bursa Malaysia dibuka lebih tinggi untuk hari kedua berturut-turut pada pagi urus niaga Khamis, menjejaki keuntungan semalaman Wall Street apabila peniaga bertambah yakin bahawa inflasi di Amerika Syarikat semakin mereda serta keberkesanan langkah menaikkan kadar oleh Rizab Persekutuan sebelum ini, kata seorang peniaga. Pada pukul 9.05 pagi, penanda aras FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) meningkat 1.99 mata kepada 1,489.86 daripada penutupan semalam 1,487.87. Pasaran dibuka 0.70 mata lebih kukuh pagi ini pada 1,488.57. Di pasaran yang lebih luas, kaunter untung mengatasi kaunter rugi 164 berbalas 130, manakala 274 kaunter tidak berubah, 1,634 tidak diniagakan dan 12 yang lain digantung. Jumlah dagangan adalah sebanyak 308.13 juta unit bernilai RM171.92 juta. Naib Presiden Penyelidikan Ekuiti Rakuten Trade Sdn Bhd Thong Pak Leng berpendapat pengumpulan membabitkan saham-saham terpilih akan berterusan hari ini dengan minat tertumpu pada saham tenaga di tengah-tengah pemulihan harga minyak mentah. "Minyak mentah Brent melonjak kepada hampir AS$83 setong berikutan pembukaan semula China, ditambah pula dengan sambutan Tahun Baharu Cina yang bakal menyaksikan lebih banyak pergerakan," katanya kepada Bernama. Mengenai prestasi Wall Street, beliau berkata Purata Perindustrian Dow Jones melonjak hampir 270 mata manakala Nasdaq naik 190 mata apabila hasil Perbendaharaan AS 10 tahun susut kepada 3.54 peratus. Di dalam negara, beliau turut menjangkakan indeks FBM KLCI berada dalam julat 1,485-1,495 hari ini. Dalam kalangan saham wajaran tinggi, Petronas Dagangan dan Hong Leong Bank, masing-masing peroleh enam sen kepada RM22.80 dan RM20.78 sementara Tenaga Nasional menambah empat sen kepada RM9.44.


Sementara itu, Hong Leong Financial Group dan Telekom Malaysia tidak berubah masing-masing pada RM18.86 dan RM5.19, dan Nestle pula susut 30 sen kepada RM137.20. Bagi saham aktif, Nationgate Holdings melonjak 47 sen kepada 85 sen, Minetech Resources meningkat satu sen menjadi 6.5 sen dan Dolphin International susut 1.5 sen kepada satu sen, manakala Progressive Impact Corporation dan Tanco tidak berubah, masing-masing pada 29 sen dan 38 sen. Di papan indeks, Indeks FBM Emas mengembang 14.94 mata kepada 10,741.32, Indeks FBMT 100 mengukuh 14.83 mata menjadi 10,438.75, dan Indeks FBM Emas Syariah meningkat 14.57 mata kepada 10,931.66. Indeks FBM 70 meraih 22.61 mata kepada 13,291.92 sementara Indeks ACE FBM meningkat 18.79 mata kepada 5,428.55. Mengikut sektor, Indeks Perkhidmatan Kewangan memperoleh 24.53 mata untuk mencatatkan paras 16,590.00 dan Indeks Produk dan Perkhidmatan Perindustrian meningkat 0.19 mata kepada 183.49. Indeks Perladangan menokok 16.05 mata kepada 6,950.73 dan Indeks Tenaga memperoleh 5.86 mata kepada 819.76. -BERNAMA

bottom of page