top of page
  • newsatmy

Bursa Malaysia pulih pagi ini, didorong berita kilang dibenar beroperasi, PKP 3.0 lebih ketat

25 Mei 2021

KUALA LUMPUR: Dagangan di Bursa Malaysia bangkit kembali daripada kerugian yang dicatatkan minggu lepas untuk dibuka lebih kukuh pada urus niaga pagi Isnin dengan para pelabur menarik nafas lega selepas mengetahui kebanyakan perniagaan dan kilang dibenarkan beroperasi di bawah Perintah Kawalan Pergerakan 3.0 (PKP 3.0) yang diperketatkan.


Pada 9.06 pagi, indeks penanda aras FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) mengukuh 3.34 mata atau 0.21 peratus kepada 1,565.51 daripada 1,562.17 pada penutupan Jumaat minggu lepas.


Indeks utama dibuka lebih tinggi sebanyak 1.61 mata kepada 1,563.78.


Di pasaran meluas, kaunter untung mengatasi rugi dengan 353 berbalas 120, sementara 251 kaunter tidak berubah, 1,478 tidak diniagakan dan 19 yang lain digantung.


Jumlah dagangan ialah 328.47 juta bernilai RM148.83 juta.


Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob pada Sabtu telah mengumumkan sekatan tambahan untuk memperketat prosedur operasi standard (SOP) PKP 3.0 melalui dua strategi, iaitu arahan bekerja dari rumah (WFH) dan mengehadkan waktu operasi perniagaan berkuat kuasa 25 Mei untuk seluruh Semenanjung dan Labuan.


Beliau berkata ini bertujuan untuk mengurangkan pergerakan orang ramai dan sekali gus dapat mencegah penyebaran COVID-19 yang lebih serius.


Dengan SOP lebih ketat dilaksanakan di kawasan yang lebih luas di negara ini, Malacca Securities Sdn Bhd pula menjangkakan sentimen perdagangan yang lemah untuk minggu urus niaga yang singkat ini memandangkan pasaran akan ditutup pada Rabu sempena sambutan Hari Wesak.


Sementara itu, menurut Rakuten Trade Sdn Bhd, FBM KLCI telah kehilangan sekitar 30 mata sejak awal Mei, dan tidak ada pemangkin pembelian.


"Meskipun demikian, kami menjangkakan indeks akan melonjak sedikit dan berlegar antara paras 1,560-1,570," katanya dalam nota berasingan.


Dalam kalangan saham berwajaran tinggi, Maybank menambah lima sen kepada RM8.29, Public Bank naik satu sen kepada RM4.16, Tenaga kukuh dua sen pada RM9.92 sementara Petronas Chemicals dan IHH tidak berubah, masing-masing pada RM7.90 dan RM5.20 .


Bagi saham cergas, Grand-Flo naik 3.5 sen kepada 64 sen, Privasia Technology meningkat satu sen kepada 18.5 sen, LKL 1.5 sen lebih tinggi pada 41.5 sen, Focus Dynamics naik setengah sen kepada tujuh sen, sementara Hiap Teck kekal pada 50.5 sen.


Saham paling untung Pharmaniaga, melonjak 37 sen kepada RM4.40 sementara Widetech yang paling kerugian, menyusut 30 sen pada RM2.70.


Di papan indeks, Indeks FBM Emas meningkat 40.79 mata kepada 11,376.82 dan Indeks FBMT 100 menambah 34.53 mata kepada 11,076.75.


Indeks FBM Emas Syariah mengukuh 53.30 mata kepada 12,661.33, FBM ACE meningkat 68.90 mata kepada 7,693.77 dan FBM 70 mengembang 87.92 mata kepada 14,624.58.


Mengikut sektor, Indeks Perladangan naik 53.15 mata kepada 6,952.67, Indeks Produk dan Perkhidmatan Perindustrian menambah 1.32 mata kepada 188.62 dan Indeks Perkhidmatan Kewangan mengukuh 38.71 mata kepada 14,806.71.


- BERNAMA

bottom of page