top of page
  • newsatmy

Bursa Malaysia rendah pada tengah hari


BURSA Malaysia rendah semasa mengakhiri sesi dagangan pagi Khamis menjejaki prestasi ekuiti global yang suram dalam persekitaran kebimbangan yang berpanjangan mengenai kenaikan kadar faedah oleh Rizab Persekutuan (Fed) Amerika Syarikat (AS), kata peniaga.


Pada jam 12.30 tengah hari, petunjuk pasaran FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) merosot 12.65 mata kepada 1,499.40 daripada 1,512.05 pada Selasa.


Bursa Malaysia dan anak syarikatnya ditutup semalam sempena cuti umum Hari Kemerdekaan.

Indeks petunjuk pasaran dibuka rendah 14.04 mata kepada 1,498.01, seterusnya bergerak antara 1,490.71 dan 1,503.49 sepanjang sesi dagangan.


Dalam pasaran secara menyeluruh, kaunter rugi mengatasi kaunter untung sebanyak 580 berbanding 216 manakala 354 kaunter tidak berubah, 1,138 tidak diniagakan dan 20 yang lain digantung.


Jumlah dagangan sebanyak 1.41 bilion unit bernilai RM986.45 juta.

Peniaga ActivTrades, Anderson Alves berkata,ekuiti Asia lemah pada Khamis berikutan sesi dagangan pada akhir bulan negatif di Wall Street, dengan kebanyakan sektor ditutup rendah.


"Mereka turut memantau yuan China berikutan ia diniagakan lebih kukuh berbanding dolar AS. Penetapan mata wang oleh People's Bank of China yang lebih kukuh daripada jangkaan turut membantu mengimbangi kebimbangan mengenai geopolitik,” katanya.


Beliau berkata, peristiwa makro utama untuk pasaran global ialah data senarai gaji bukan ladang AS yang akan dikeluarkan esok, dengan pelabur menunggu untuk mengukur sejauh mana agresif dasar monetari Fed menjelang akhir tahun.


Di peringkat serantau, Nikkei 225 Jepun merosot 1.71 peratus kepada 27,612.14, Indeks Hang Seng Hong Kong berkurangan 1.52 peratus kepada 19,650.77, Indeks Straits Times Singapura susut 0.01 peratus kepada 3,221.34 dan Kospi Korea Selatan turun 1.92 peratus kepada 2,425.52.


Dalam negara, saham wajaran tinggi Maybank susut tiga sen kepada RM8.94, Public Bank merosot lima sen kepada RM4.66 dan Petronas Chemicals berkurangan empat sen kepada RM8.76 manakala CIMB meningkat 14 sen kepada RM5.51 dan IHH Healthcare naik tiga sen kepada RM6.23.


Daripada saham aktif, Jade Marvel Group merosot 18 sen kepada 32.5 sen, Dagang Nexchange berkurangan 2.5 sen kepada 83.5 sen manakala Serba Dinamik, MNC Wireless dan Vortex, masing-masing tidak berubah pada tiga sen, satu sen dan 18 sen.


Di papan indeks, Indeks FBM Emas berkurangan 88.02 mata kepada 10,609.63, Indeks FBMT 100 merosot 85.86 mata kepada 10,363.57, FBM 70 susut 98.07 mata kepada 12,614.37, FBM ACE turun 92.88 mata kepada 4,817.56 dan Indeks FBM Emas Shariah jatuh 137.78 mata kepada 10,675.68.


Mengikut sektor, Indeks Perladangan merosot 130.17 mata kepada 7,063.50, Indeks Produk Perindustrian dan Perkhidmatan berkurangan 1.33 mata kepada 180.87, Indeks Perkhidmatan Kewangan susut 8.28 mata kepada 16,793.64 dan Indeks Tenaga turun 13.26 mata kepada 715.28. - Bernama

bottom of page