top of page
  • Writer's pictureArissa Azman

Cabaran 100 hari pertama pastikan Kabinet efektif

28 Ogos 2021

KUALA LUMPUR: Pembentukan Kabinet baharu yang diumum Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob disifatkan langkah terbaik dalam mentransformasikan sistem penyampaian eksekutif kepada rakyat dan negara dengan lebih tuntas.


Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi BERSATU, Senator Datuk Razali Idris berkata cabaran 100 hari pertama adalah satu kad laporan yang bermakna dalam memastikan setiap pelantikan Menteri dan Timbalan Menteri dicapai dengan efektif.


“Saya percaya menerusi pelantikan baharu ini, barisan Kabinet akan terus komited menjayakan agenda negara apatah lagi menjaga kebajikan Keluarga Malaysia.


“Gerak kerja ini jelas memaparkan kesungguhan kerajaan baharu bertindak pantas dan bersepadu dalam usaha membebaskan Malaysia daripada pandemik COVID-19, kegawatan ekonomi dan kesihatan awam,” katanya dalam kenyataan hari ini.


Mengulas lanjut, Razali berharap Ahli Jemaah Kabinet yang baru dilantik perlu menanamkan sifat cakna terhadap masalah rakyat.


“Dengarlah denyut nadi dan keluh kesah Keluarga Malaysia ini.


“Moga barisan Kabinet baharu ini akan memberi keyakinan baharu untuk negara bangkit dan bersatu.


“Harap apa yang disarankan Perdana Menteri untuk menekankan budaya kerja berprestasi tinggi diterjemahkan sehabis baik,” katanya.



--PN Online

bottom of page