top of page
newsatmy

Cadangan larangan hijab cetuskan protes di Denmark


COPENHAGEN,13 Sept: Cadangan sebuah institusi yang diasaskan oleh Parti Demokratik Sosial yang memerintah Denmark, mengesyorkan agar kerajaan Denmark memperkenalkan larangan atau sekatan pemakaian hijab di sekolah rendah Denmark telah menimbulkan protes dalam kalangan Muslim di negara itu. Institusi berkenaan, Suruhanjaya Denmark Perjuangan Wanita yang Dilupakan telah mengemukakan cadangan tersebut melalui apa yang dikenali sebagai Cadangan 24 Ogos, selain lapan cadangan lain yang bertujuan menghalang kawalan sosial berkaitan kehormatan gadis dari latar belakang minoriti, lapor Al Jazeera.


Cadangan lain termasuk menyediakan kursus bahasa Denmark, mempromosikan amalan keibubapaan moden dalam keluarga golongan minoriti berkenaan dan mengukuhkan pendidikan seks di sekolah rendah.


Huda Makai Asghar, pelajar berusia lima belas tahun merasakan bahawa idea larangan berhijab melanggar hak gadis Muslim sepertinya, dan adalah salah untuk memaksanya menanggalkan tudungnya ketika di sekolah.


“Saya sentiasa tahu bahawa Denmark mempunyai kebebasan beragama. Anda boleh memakai apa yang anda mahu dan percaya apa yang anda mahu,” ujarnya kepada Al Jazeera melalui perbualan telefon.

“Saya tidak boleh berbuat demikian. Ia sebahagian daripada diri saya,” tegasnya yang berkata dia bakal dipaksa menanggalkan hijabnya di sekolah jika sekatan itu berkuat kuasa.


Murid-murid gred sembilan di Kokkedal Skole, sebuah sekolah dengan hampir 800 pelajar di pinggir ibu kota Denmark, Copenhagen, telah memakai hijab semasa belajar selama dua tahun.


Sementara itu, seorang profesor bersekutu di Sekolah Pendidikan Denmark di Aarhus University, Iram Khawaja lantang menentang cadangan itu.

Penyelidikannya memfokuskan kepada cara kanak-kanak dari golongan minoriti dan etnik mengemudi masyarakat di Denmark, dan beliau adalah pengasas bersama Rangkaian Psikologi Profesional Menentang Diskriminasi.


Khawaja berkata, cadangan sekatan berhijab di sekolah rendah di Denmark tidak akan menyelesaikan masalah yang dihadapi golongan gadis di bawah kawalan sosial.

“Sebaliknya, sekatan itu boleh menambah masalah yang lebih besar. Gadis-gadis yang sudah tertakluk kepada kawalan sosial negatif akan mengalami tekanan yang semakin meningkat.

“Adalah bermasalah untuk menyamakan pemakaian tudung dengan kawalan sosial yang negatif. Gadis yang tidak memakai tudung juga tertakluk kepada kawalan sosial yang negatif,” ujar Kawaja.


Dalam pada itu, Worldakkam melaporkan, berdasarkan laporan suruhanjaya berkenaan, penggunaan hijab dalam kalangan golongan minoriti di sekolah rendah di Denmark dikhuatiri boleh membahagikan kanak-kanak kepada dua kumpulan – ‘kita’ dan ‘mereka’.

Tinjauan itu dijalankan oleh firma penyelidikan Als Research and Epinion bagi pihak Kementerian Pendidikan Denmark. Ia berdasarkan tinjauan terhadap 1,441 pelajar dalam gred 6 hingga 8 dari 19 sekolah rendah dan lapan sekolah swasta, serta 22 temu bual dalam kalangan pelajar dan 17 orang guru.


Sementara menurut Khawaja, kajian pada 2018 mengenai sejauh mana kawalan sosial negatif menunjukkan bahawa segelintir murid sekolah di Denmark sebenarnya terdedah kepada kawalan sosial (8 peratus peserta tinjauan).

“Kebanyakan gadis yang memakai tudung melakukannya secara sukarela,” kata Kawaja.

Menurutnya, hanya membuat cadangan diikuti dengan perbincangan boleh membawa kesan negatif.

“Sudah tentu ada akibat jika sekatan berhijab itu dilaksanakan, tetapi saya percaya sudah ada akibat negatif sekarang ini. Ia sudah distigma, dipersoalkan dan menimbulkan keraguan terhadap kumpulan etnik besar.

“Niatnya baik, tetapi ia akan menstigma dan melumpuhkan mereka yang anda cuba bantu (golongan minoriti),” katanya.


Pengetua sekolah rendah Jutland Tilst Skole, Lone Jørgensen, yang mempunyai kira-kira 700 murid, juga tidak menyokong larangan yang disyorkan itu.

“Larangan ini akan mewujudkan undang-undang antara kanak-kanak dan ibu bapa mereka, dan kanak-kanak akan terperangkap di antara mereka,” kata Jorgensen kepada Al Jazeera.

“Tugas saya adalah untuk menguruskan sekolah yang baik untuk semua, yang mana terdapat ruang untuk semua orang dan mereka mempunyai nilai yang sama,” katanya.

Pada 26 Ogos lalu, beribu-ribu orang telah turun ke jalan-jalan di Copenhagen untuk membantah larangan yang dicadangkan.

Menurut akhbar Denmark, Albejderen dan B.T., beribu-ribu orang telah turun ke jalan raya membantah larangan tersebut.


Lamia Ibnsain, 37, seorang bidan dan aktivis, menganjurkan acara khusus dengan tema, ‘Jangan ganggu hijab kami’.

“Kami menyedari bahawa suara kami tidak kelihatan dalam masyarakat. Hasrat asal demonstrasi adalah untuk keluar ke jalan raya dan membuatkan suara kami didengari,” katanya kepada Al Jazeera.

Ibnhsain menegaskan, dia dihimpit kegusaran berikutan sekatan berhijab yang dicadangkan itu.

Sebagai seorang ibu, dia berasa bimbang sekatan berhijab itu akan meningkatkan bilangan kanak-kanak perempuan yang berasa ‘salah’ berbanding gadis lain.

“Wanita Islam berhijab ada di mana-mana dalam masyarakat di Denmark. Mereka termasuk doktor, ahli psikologi, pemandu bas, selebriti. Mereka adalah sebahagian daripada Denmark,” katanya. ibu kepada dua anak perempuan berusia 8 dan 16 tahun itu.

Ibnhsain yang mempunyai dua anak perempuan, masing-masing berusia 16 tahun dan 8 tahun itu menjelaskan betapa sukarnya untuk berbincang dengan kedua-dua anaknya itu tentang kemungkinan larangan berhijab di sekolah rendah di Denmark.

Anak perempuan sulungnya itu kini berhijab, manakala yang bongsu kadang-kadang sahaja mengenakan tudung.

“Anak-anak perempuan saya memakai tudung dengan penuh gembira dan rela hati. Tudung adalah soal hati dan tidak boleh dibawa ke dalam perdebatan politik,” katanya. Ia melanggar hak asasi anak perempuan kami,” katanya.

Comments


bottom of page