• newsatmy

Cadangan Liga Super Eropah satu gerakan menggertak UEFA - Shahrim Tamrin

22 April 2021

KUALA LUMPUR: Awal minggu ini dunia bola sepak digemparkan dengan satu gerakan menubuhkan liga baharu yang disertai oleh kelab-kelab elit Eropah, yang dipanggil Liga Super Eropah (ESL).


Maka saluran-saluran berita sukan berada dalam mod berita tergempar atau ‘breaking news’ yang berlanjutan beberapa hari, sesuatu yang jarang kita lihat. Bermakna, ini satu hal yang sangat serius terhadap sukan itu.


Para peminat terutamanya kelab-kelab terlibat nyata amat kecewa dengan keputusan yang dibuat oleh kelab kesayangan mereka, kecewa dengan ketamakan pemilik untuk mengaut pulangan kewangan daripada hak penyiaran dan penajaan yang dijanjikan dalam pakatan baharu itu.


Bagaimanapun selepas 48 jam, keenam-enam kelab Inggeris yang terlibat menarik diri daripada pakatan tersebut, sebelum diikuti Atletico Madrid, Inter Milan dan AC Milan. Sembilan daripada 12 berundur, maka terencatlah impian gila itu.


Dalam pada ramai melihatnya sebagai satu langkah membunuh semangat asal sukan itu sendiri, di sisi lain wartawan sukan bebas, Shahrim Tamrin melihat semua ini tidak akan berlaku sekiranya UEFA selaku badan induk bola sepak Eropah tidak membuat onar.


“Sebenarnya banyak kelab tidak berpuas hati dengan UEFA kerana mereka merasakan perkongsian kekayaan itu tidak sekata.


“Sejak zaman UEFA dipengerusikan Lennart Johansson dan FIFA dipimpin oleh Sepp Blatter, cakap-cakap mengenai rasuah, ketidak adilan dan ketidak seimbangan agihan hak dan keuntungan sentiasa berbangkit.”


Menurut Shahrim, projek ini sebenarnya sudah lama mereka fikirkan sejak 80-an lagi, dan mereka mula serius dengannya sejak 10 tahun lalu. Semuanya kerana mereka mula merasakan wujud korupsi dalam UEFA.


Sebenarnya mereka secara sendiri telah memulakan gerakan ini tanpa sedar dalam skala yang kecil. Penganjuran kejohanan kecil ketika tempoh pramusim seperti Piala AUDI, Piala Emirates yang menyaksikan kelab-kelab besar antara benua bertanding secara ‘suka-suka’ - itulah dia tunasnya.


Dan pada ketika pandemik menyerang dunia ini, mereka mengambil kesempatan untuk menjalankan gerakan percubaan membentuk liga sendiri tanpa campur tangan UEFA.


“Apabila COVID-19 melanda, pendapatan terjejas, kemudian Liga Juara-Juara Eropah pun sudah kembali, bermain dalam stadium kosong, jadi mereka memikirkan bagaimana untuk membuat duit.


“Jadi ini adalah lebih kepada satu mesej yang jelas, lebih kepada gertak kepada UEFA.


Seakan berkata, “Lihat, kalau anda (UEFA) tidak mendengar kami, kami akan melakukan ini (ESL) dengan serius”,” katanya.


Dengan kegagalan gerakan itu, liga-liga utama Eropah akan terus diserikan dengan keberadaan kelab-kelab besar ini - walaupun imej mereka telah tercalar dengan apa yang telah berlaku - dan Astro akan terus membawakan liputan terbaik dalam siaran definisi tinggi kepada pelanggan pek sukannya.


-Astro Awani