• zaman

Cadangan MPN tidak semestinya dilaksanakan


KUALA LUMPUR, 28 Sep – Pengerusi Majlis Perundingan Negara (MPN), Muhyiddin Yassin perlu bertindak dalam semangat kolektif, bukan menuding jari dan menyalahkan orang lain.

Naib Presiden UMNO, Mohamed Khaled Nordin, berkata sikap menuding jari ini jelas menunjukkan beliau hanya mampu menyalahkan orang lain atas kelemahan cadangan dan hasil kerjanya.


Beliau berkata, Muhyiddin berhak mengemuka pandangan kepada kerajaan, namun terpulang kepada kerajaan untuk mempertimbang.

“Kerajaan mempunyai pelbagai aspek yang harus diambil kira. Hanya kerana cadangan itu datang dari MPN, tidak semestinya dilaksanakan secara automatik,” katanya dalam kenyataan hari ini.


Kenyataan itu mengulas mengenai reaksi Muhyiddin yang meluahkan rasa kecewa selepas hanya 16 daripada 69 perakuan majlis itu dilaksanakan kerajaan sejak tempoh setahun yang lalu.


Semalam, selepas mesyuarat MPN, Muhyiddin menyatakan perakuan MPN kepada Kabinet penting untuk memulihkan industri terutamanya perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) yang menyumbang 37 peratus kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) negara.

“Kelewatan bertindak dalam hal ini sesuatu yang tidak dapat diterima,” katanya.


Mohamed Khaled berkata, Muhyiddin harus bertindak dalam semangat kolektif kerana beliau adalah sebahagian dari kerajaan.


Beliau berkata, Pengerusi MPN juga seolah-olah lupa sebahagian besar masalah dihadapi sekarang diwarisi dari kerajaan Perikatan Nasional (PN).


“Jadi, janganlah bersikap baling batu sembunyi tangan.

“Saya percaya perdana menteri dan anggota kerajaan serta kakitangan awam sedang mencuba memberikan yang terbaik bagi berhadapan dengan segala masalah negara,” katanya.


Kemelut dalaman kerajaan Ismail Sabri Yaakob itu kian parah ekoran tindakan saling tuduh-menuduh antara kerajaan lama dengan kerajaan baharu berterusan hingga menjejaskan keyakinan pelabur asing sama ada yang telah lama beroperasi atau mahu melabur di negara ini.