• StrangePlay

Calon BN perlu tandatangan aku janji tidak akan lompat parti

5 November

MASJID TANAH – Kesemua calon yang mewakili Barisan Nasional (BN) perlu menandatangani surat aku janji dan perjanjian tertentu sebelum namanya diumumkan secara rasmi esok.

Pengarah Pilihan Raya BN Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, ia merupakan antara pembaharuan yang dilakukan untuk mengelakkan berlakunya insiden lompat parti seperti yang berlaku sebelum ini.


“Kita telah pun buat persiapan aku janji dengan pasukan peguam kita telah meneliti untuk mengelakkan supaya tiada lagi mereka-mereka yang menang di atas tiket BN tetapi kemudian melompat hingga menjejaskan kestabilan politik.

“Kestabilan selepas pilihan raya itu sangat penting dan sebab itulah kita sediakan aku janji berserta beberapa lagi perjanjian lain.


“Alhamdulillah, aku janji itu telahpun dimuktamadkan dan dipersiapkan yang mana ia akan ditandatangani calon-calon BN sebelum mereka ditauliahkan esok,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas menghadiri Majlis Penyerahan Negeri Angkat BN mewakili kawasan Parlimen Masjid Tanah, di sini, hari ini.