• newsatmy

'Calon perlu bebas kes mahkamah' - Tengku Razaleigh

11 Mac 2021

KUALA LUMPUR: Ahli Parlimen Gua Musang, Tengku Razaleigh Hamzah menasihati UMNO supaya meletakkan calon yang bebas dari kes mahkamah selain tidak sombong untuk memenangi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).


Pengerusi Jemaah Penasihat UMNO itu berkata individu itu mesti berupaya selain sentiasa dekat dengan rakyat.


"Saya tak boleh nak cakap apa yang perlu diperbaiki. Saya nak dengar daripada ahli-ahli UMNO apa yang perlu diperbaiki termasuk juga daripada pandangan rakyat untuk mengundi, memilih pemimpin.


"Saya dengar cakap-cakap katakan elok kita adakan barisan pimpinan untuk ditawar berkhidmat bagi rakyat di kawasan masing-masing orang yang tidak terlibat dengan kes mahkamah... orang itu mesti berkebolehan dan berkemampuan," katanya ketika ditemu bual Malaysian Insight pada Rabu.


Beliau berkata demikian ketika ditanya berkenaan perubahan yang perlu dilakukan oleh UMNO bagi menawan semula Putrajaya pada PRU15 kelak.


Jelasnya, individu yang dicalonkan UMNO tidak boleh hanya duduk di pejabat, memberi arahan dan bersifat elitis.


Katanya, rakyat kini mahukan individu yang senang dihubungi, mudah membicarakan masalah-masalah rakyat yang berbangkit.


Mengenai masa depan UMNO, Razaleigh berkata, parti itu mampu bertahan selagi ia mendapat sokongan dan keyakinan rakyat.


“Walaupun kita dalam pilihan raya 2018, titik hitam dalam sejarah parti kita. Tetapi, nampak tak memberi kesan yang buruk sangat kepada kita, oleh kerana orang di bawah masih kekal," katanya. - AA