top of page
  • Writer's pictureArissa Azman

Calon wanita bukan sekadar tangkap muat - Mas Ermieyati

11 NOVEMBER 2021

MELAKA: Perlu ada usaha yang lebih gigih untuk membuktikan bahawa calon wanita bukan sekadar tangkap muat kata calon Perikatan Nasional N02, DUN Tanjung Bidara.


Menurut Datuk Wira Mas Ermieyati, walaupun PN baru dua tahun dilahirkan tapi dengan meletakkan 6 calon wanita sebagai permulaan yang baik.


“Perlu ada usaha yang lebih gigih untuk membuktikan bahawa calon wanita bukan sekadar tangkap muat.


“Dalam Parlimen Masjid Tanah, PN meletakkan 3 daripada 5 calon wanita, jadi itu satu simbol pengiktirafan pemerkasaan wanita,” katanya.


Mas Ermieyati turut berkata beliau mahu menyumbang kerusi kemenangan kepada Perikatan Nasional kerana ianya penting.


“Saya mahu sumbangkan kerusi kepada Perikatan Nasional sebab saya rasa PRN Melaka ini cukup penting sekali.


“Malah PRN ini akan memberi satu simbol, lambang dan pembakar semangat kepada pimpinan, rakan-rakan ahli dan jentera untuk pilihanraya umum yang akan datang.


“Tugas saya adalah untuk memenangkan kerusi Tanjung Bidara, itulah hasrat, amanah dan tanggungjawab yang diberikan kepada saya oleh pucuk pimpinan parti,” katanya lagi.


Mas Ermieyati turut berkata ekonomi dan sektor pelancongan negeri Melaka amat penting dan mesti dirancakkan kembali dengan segera.


“Yang paling penting adalah ekonomi negeri Melaka, bagaimana kita hendak meransangkan ekonomi dan pelancongan negeri supaya bergerak dengan pantas.


“Pelancongan membawa peratusan pendapatan yang agak besar kepada negeri Melaka, jadi kita tengok bagaimana kita dapat bangkit dengan segera merancakkan sektor-sektor ini, pakej-pakej yang boleh kita bawakan.


“Mungkin ada tarikan baru yang dapat diwujudkan di negeri Melaka, supaya dapat jadi pilihan kepada pengunjung domestik dan luar negara,” katanya kepada wartawan di Bilik Gerakan Utama DUN Tanjung Bidara pada Rabu.


Kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Tanjung Bidara menampilkan tentangan yang dijangka sengit melibatkan calon tiga penjuru diantara Datuk Wira Mas Ermieyati (PN), Datuk Ab Rauf (BN), dan calon Pakatan Harapan, Zainal Hassan.

bottom of page