- newsatmy
Campuran orang lama, baharu ramuan kukuhkan BERSATU

KUALA LUMPUR, 13 Ogos – Ketua Penerangan BERSATU Malaysia, Datuk Wan Saiful Wan Jan menggesa semua pihak dalam parti tidak membezakan orang lama dan baharu kerana itulah ramuan yang memperkukuhkan parti itu.
“Siapa pula yang meletakkan garis pemisah antara yang baharu dan lama. Sebenarnya, bila-bila masuk (BERSATU) itu adalah orang parti kita.
“Jangan biarkan sesiapa pun memecahkan kita. Kalau musuh dari luar itu memang kerja dia,” katanya dalam ucapan perasmian pada perjumpaan tertutup Penerangan BERSATU di sini, pada Jumaat.
Terdahulu, Penerangan BERSATU Malaysia menganjurkan perjumpaan tertutup bersama jentera Bahagian BERSATU Marang, Kuala Terengganu dan Kuala Nerus.
Hadir sama, Ketua Badan Pimpinan Negeri BERSATU Terengganu Senator Datuk Razali Idris dan delegasi pimpinan BERSATU Terengganu yang terdiri daripada Armada dan Srikandi.
Wan Saiful berkata demikian berikutan ada pihak yang membezakan ahli BERSATU menyertai parti itu sejak penubuhannya pada 2016 dan pemimpin seperti beliau yang hanya masuk pada 2018.
Wan Saiful berkata, terdapat juga pihak yang mempertikaikan kemasukan sekumpulan ahli selepas pilihan raya umum ke-14 (PRU14) seperti Setiausaha Agung BERSATU, Datuk Seri Hamzah Zainudin dan bekas timbalan presiden PKR, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali.
“Selepas PRU14, ada lagi kelompok-kelompok yang masuk bersama Hamzah. Ramai yang menyertai kita daripada UMNO.
“Tidak berapa lama, datang pula kelompok dari PKR, Azmin. Ini semua patut dianggap ramuan perkukuhkan (parti).”
Beliau bagaimanapun sedih dan bimbang dengan sikap sesetengah pihak yang membeza-bezakan orang baharu dan lama kerana perkara itu tidak sepatutnya berlaku.