top of page
zaman

Carian......Ringgit terus meningkat berbanding dolar AS dipacu data pengangguran rendah


KUALA LUMPUR, 12 Jan- Nilai ringgit terus meningkat berbanding dolar AS dan dibuka lebih tinggi pagi ini apabila permintaan terhadap mata wang tempatan bertambah baik selepas data pengangguran November 2022 yang baharu dikeluarkan membayangkan prospek ekonomi yang positif, kata seorang penganalisis. Pada pukul 9.00 pagi, mata wang tempatan meningkat kepada 4.3630/3680 berbanding dolar AS daripada penutupan Rabu pada 4.3700/3725. Menurut Jabatan Perangkaan, kadar pengangguran negara menunjukkan trend menurun dengan 600,900 orang menganggur pada November 2022 berbanding 602,000 pada Oktober 2022. Selain itu, jabatan itu turut menambah jualan perdagangan borong dan runcit Malaysia berkembang 13.9 peratus tahun ke tahun kepada RM133.9 bilion pada November 2022, terutamanya dirangsang oleh pertumbuhan dalam subsektor perdagangan runcit. Sektor pembuatan juga meneruskan pertumbuhan dua angka untuk merekodkan jualan RM159.2 bilion pada November 2022, peningkatan sebanyak 11.8 peratus tahun ke tahun. Sementara itu, indeks pengeluaran perindustrian meningkat sebanyak 4.8 peratus pada November 2022 berbanding 4.6 peratus pada bulan sebelumnya, disokong oleh pengembangan dalam sektor perlombongan, pembuatan dan elektrik. “Kita sedang bergerak ke arah pertumbuhan ekonomi yang lebih baik secara keseluruhan selepas pandemik. Penambahbaikan dalam sektor ekonomi ini telah meningkatkan keyakinan pelabur mengenai pertumbuhan ekonomi masa depan kita,” kata penganalisis itu kepada Bernama. Bagi faktor luaran pula, peniaga ActivTrades Dyogenes Rodrigues Diniz berkata sentimen pelabur berubah menjadi berhati-hati menjelang pengeluaran data Indeks Harga Pengguna (CPI) Amerika Syarikat (AS). “Ini adalah penunjuk yang sangat diperhatikan dan mempengaruhi keputusan Rizab Persekutuan AS dan dasar monetarinya; justeru, pasaran selalunya lengang menjelang pengumuman data ini.


“Dari sudut teknikal, gandingan dolar AS-ringgit berada dalam zon sokongan dan jika harga berjaya menembusi melebihi 4.4060, ia boleh meningkat setinggi 4.4850 dalam masa beberapa hari. Sekiranya ia menembusi di bawah paras 4.3600, ia mungkin jatuh serendah paras 4.2500,” katanya. Sementara itu, ringgit diniagakan kebanyakannya rendah berbanding sekumpulan mata wang utama. Mata wang tempatan menyusut nilai berbanding pound Britain kepada 5.3024/3084 daripada 5.3017/3047 pada penutupan urus niaga Rabu, lemah berbanding euro menjadi 4.6959/7013 daripada 4.6938/6965 sebelumnya, dan susut berbanding yen Jepun kepada 3.3083/3126 daripada 3.2984/3007. Bagaimanapun, ringgit menambah nilai berbanding dolar Singapura kepada 3.2797/2840 daripada 3.2820/2841 pada penutup semalam. -BERNAMA

Comments


bottom of page