top of page
  • newsatmy

Cavani, Pogba kembali perkuat United.

17 Mac 2021

LONDON: Manchester United bakal diperkuat Paul Pogba dan Edinson Cavani yang kembali berlatih menjelang aksi Liga Europa menentang AC Milan esok (awal pagi Jumaat).


United dan AC Milan terikat 1-1 pada perlawanan pertama kelompok 16 dan kunjungan ke Itali dilihat lebih berpihak kepada tuan rumah yang mempunyai bekalan gol di tempat lawan.


Pada Ahad pula anak buah Ole Gunnar Solskjaer akan ke Leicester City untuk aksi suku akhir Piala FA dalam usaha mereka menamatkan musim dengan trofi - selain kelayakan Liga Juara-Juara.


Kepulangan dua tonggak itu di padang latihan di Carrington memberi berita gembira buat United.


Perancang Perancis, Pogba beraksi kali terakhir ketika keputusan 3-3 menentang Everton pada 6 Februari lalu.


Penyerang Uruguay, Cavani pula terpaksa dikeluarkan ketika menentang Crystal Palace awal bulan ini dan tidak cukup cergas pada tiga perlawanan selepas itu.


Pemain tengah Belanda Donny van de Beek turut menyertai sesi latihan berkenaan.

Van de Beek disenaraikan sebagai pemain simpanan ketika kunjungan ke Chelsea pada 28 Februari tetapi tidak beraksi sejak perlawanan terakhir menentang West Brom pada 14 Februari.


Sementara itu gawang United juga bakal diperkuat kembali penjaga gol David De Gea yang baru selesai tempoh kuarantin selepas pulang dari Sepanyol kerana menyambut kelahiran anaknya.


Cavani dijangka akan memulakan perlawanan di San Siro dengan Anthony Martial bermula di bangku simpanan sekiranya dia cergas untuk diturunkan.


The Red Devils hanya meledak empat gol dalam enam perlawanan sejak penyerang Uruguay itu tidak beraksi.


Pertemuan dengan Milan nanti bakal menyaksikan Cavani bertembung dengan bekas rakan sepasukannya, Zlatan Ibrahimovic yang juga baru pulih daripada kecederaan dan bersemangat untuk menewaskan bekas kelab masing-masing.


-Berita Harian

bottom of page