top of page
  • newsatmy

Celcom catat prestasi positif bagi separuh pertama 2022


KUCHING,12 Sept: Celcom Axiata Berhad (Celcom) yang melabur bagi menangani pertumbuhan pelanggan serta permintaan yang semakin meningkat untuk perkhidmatan kesalinghubungan data telah mencatat prestasi positif bagi separuh pertama tahun 2022 (1H-22) buat kesemua metrik utama.


Menurut satu kenyataannya semalam, fokus syarikat terhadap 'Kecemerlangan Operasi' adalah inisiatif untuk transformasi bagi penjimatan kos menghasilkan peningkatan yang konsisten hasil dan keuntungan di mana ia telah meningkat sebanyak 2 peratus dan 125 peratus YTD.

"Pelaburan rangkaian Celcom berjumlah lebih daripada RM1 bilion sejak 18 bulan lalu.

"Ini termasuk pembangunan lapisan 4G LTE baharu pada kira-kira 9,000 tapak sedia ada dan tapak Rangkaian Akses Radio yang baharu termasuk kerja-kerja optimisasi dan penambahbaikan buat kapasiti rangkaian untuk meningkatkan perkhidmatan rangkaian 4G di seluruh negara," katanya.


Ini bagi menampung peningkatan sebanyak 14.5 peratus data trafik berbanding tahun sebelumnya.


Penggunaan data sebulan bagi setiap pengguna juga meningkat sebanyak enam peratus iaitu kepada 24.2GB sebulan bagi setiap pengguna untuk separuh petama tahun 2021(1H 2021).

Penambahbaikan keseluruhan liputan perkhidmatan dan pengalaman rangkaian Celcom telah menyebabkan peningkatan sebanyak 73 peratus bagi purata kelajuan muat turun serta pengurangan aduan sebanyak 44 peratus setakat ini.


Selaras dengan program Jalinan Digital Negara (JENDELA), Celcom komited untuk terus membina dan membangunkan sebanyak 570 tapak rangkaian 4G LTE baharu.

Pada masa yang sama, menaik taraf lebih daripada 700 tapak dengan teknologi LTE yang terkini dan meluaskan liputan rangkaian dengan membangunkan 670 LTE900 tapak jalur rendah.


Menyokong lebih daripada 14 juta pengguna, liputan populasi 4G dan 4G LTE-A Celcom berada pada 96.21 peratus dan 90.20 peratus, ujarnya.

Mengulas mengenai prestasi Celcom bagi separuh pertama tahun 2022 (1H-2022), Ketua Pegawai Eksekutif Celcom Axiata Berhad Datuk Idham Nawawi menekankan bahawa prestasi kukuh Celcom merupakan hasil daripada fokus Transformasi Kecemerlangan Operasi Syarikat bagi memenuhi permintaan di pasaran dengan memberikan perkhidmatan yang menarik serta berpatutan sambil mengekalkan kos pengurusan operasi.


“Pelaburan rangkaian kami yang berterusan serta dipertingkatkan adalah bagi menangani pertumbuhan trafik data yang pesat dan memberikan prestasi rangkaian yang konsisten dan liputan terluas kepada pelanggan kami, telah menyebabkan pengurangan yang ketara bagi aduan serta pertumbuhan dari segi keuntungan dan pelanggan.


"Dengan pertumbuhan hasil dan pelanggan yang menggalakkan, kami merancang untuk melabur semula ke dalam pemodenan rangkaian kami yang berterusan bagi memastikan rangkaian kami menjangkau kesemua lapisan masyarakat termasuk kawasan terpencil di Sabah dan Sarawak.


“Kami juga akan kekal fokus untuk memberi nilai melalui produk yang mampu dimiliki serta perkhidmatan yang berinovasi, termasuk mengukuhkan portfolio perkhidmatan ICT buat perusahaan dan perkhidmatan konvergen kami," katanya agar Celcom menjadi penyedia perkhidmatan yang boleh dipercayai kepada pelanggan dan ekosistem di sini.


Persiapan Celcom bagi melancarkan perkhidmatan dan aplikasi 5G untuk kedua-dua pihak iaitu pengguna dan perusahaan telah dilakukan secara berterusan.


Sehingga kini, Celcom telah bekerjasama dengan pihak-pihak berkaitan dan telah berjaya menyepadukan lebih daripada 1,000 tapak 5G ke rangkaian LTE dan LTE-A.


Bagi menetapkan peringkat dengan ekosistem 5G negara, Celcom telah bekerjasama dengan 39 rakan kongsi teknologi dan digital tempatan serta antarabangsa bagi memacu penggunaan solusi 5G merentas industri.

“Kami telah mula menjalankan ujian 5G dengan pekerja kami dan juga telah menjalankan ujian 5G buat pengguna kepada pelanggan terpilih.


"Kami juga komited untuk membina ekosistem 5G yang teguh dengan kerjasama secara berterusan dengan pelbagai organisasi dan perusahaan merentas industri, dengan penyelesaian dan perkhidmatan inovatif yang menyokong rangkaian 5G,” kata Idham.

bottom of page