• newsatmy

Cemas apabila enjin pesawat United Airlines meletup

21 Febuari 2021


NEW YORK - Sebuah pesawat milik syarikat penerbangan utama Amerika Syarikat (AS) berdepan masalah kegagalan enjin dan terpaksa melakukan pendaratan kecemasan pada Sabtu.



Penerbangan pesawat United Airlines Boeing 777 menuju Hawaii itu dilaporkan mengalami kerosakan pada enjin sebelah kanan sejurus berlepas dari Denver.


Enjin pesawat itu meletup dan terbakar pada ketinggian 15,000 kaki menyebabkan serpihan enjin jatuh di beberapa kawasan kejiranan di Colorado.



Video yang dirakam oleh penumpang di dalam Penerbangan UA328 yang membawa 231 penumpang dan 10 anak kapal menunjukkan enjin terbakar tidak lama selepas ia berlepas dari Denver.


Tiada kecederaan dilaporkan sama ada membabitkan penumpang dan krew pesawat atau orang awam di kawasan kejiranan.


Seorang pemilik rumah di pinggir bandar Denver, Broomfield, Colorado mengatakan mereka sedang membuat sandwic di dapur ketika serpihan menghancurkan bumbung rumah dan jatuh hanya beberapa kaki daripada menimpa mereka.


-Sinar Harian