• Arissa Azman

Cemerlang sebagai Puteri Diana, Kristen Stewart dapat pujian melambung

11 Oktober 2021

PELAKON Kristen Stewart mengakui teruja membawa 'versi' Puteri Diana lakonannya untuk tontonan rakyat Britain.


Pada tayangan perdana filem "Spencer" di Festival Filem London minggu lalu, pelakon kelahiran Amerika Syarikat berusia 31 tahun itu menerima pujian atas persembahan cemerlangnya dalam filem tersebut.


Filem itu mengambil latar selama tiga hari sewaktu Diana menuju ke Sandringham House untuk menghadiri perjumpaan keluarga sempena Krismas pada tahun 1991, dalam masa yang sama bergelut dengan konflik rumah tangganya dengan Putera Charles.


Diarahkan oleh Pablo Larrain, "Spencer" pertama kali ditayangkan di Venice Film Festival bulan lalu, dengan ramai pengkritik menyifatkan Stewart, yang sebelum ini dikenali menerusi empat siri Twilight, tidak mustahil bakal memperoleh pencalonan dalam Oscar.


"Filem ini dibuat dengan penuh rasa cinta. Jika semua orang membencinya, kami tidak kisah kerana kami sudah berikan segalanya untuk filem ini, " kata Stewart kepada Reuters.


"Spencer" memaparkan bagaimana Diana semakin terasing dalam kalangan anggota keluarga diraja dan nekad membebaskan dirinya dari protokol istana. Ia juga menceritakan hubungan rapatnya dengan dua puteranya, William dan Harry.


Stewart memaklumkan dia sangat bimbang membawakan watak puteri kesayangan ramai itu, malah mengakui tidak mengikuti perkembangan keluarga diraja Britain.


"Tetapi saya tahu impak dan pengaruh yang dibawa mendiang sangat besar dan saya sendiri merasainya, walaupun saya berusia 7 tahun ketika mendiang meninggal dunia," katanya.


Filem itu akan menemui penonton bermula 5 November depan.