• newsatmy

CENDANA saran tubuhkan Tabung Seni Negara

15 NOVEMBER 2021

KUALA LUMPUR: Kementerian Komunikasi dan Multimedia melalui CENDANA akan mengemukakan permohonan kepada Kementerian Kewangan (MoF) bagi menubuhkan Tabung Seni Negara, bertujuan meningkatkan kemampanan jangka panjang sektor seni dan budaya, serta membangunkan budaya saling membantu untuk pembangunan ekonomi berteraskan budaya.


Menteri Komunikasi dan Multimedia, Tan Sri Annuar Musa menyatakan komitmen kementeriannya terhadap sektor seni dan budaya yang memainkan peranan penting dalam pertumbuhan ekonomi negara di peringkat nasional dan global.


Menurutnya, sepanjang pandemik COVID-19 organisasi dan penggiat seni dan budaya bukan sahaja terpaksa mengurangkan aktiviti tetapi juga ada antara mereka terus mengundur diri daripada bidang seni yang merupakan antara sektor paling terjejas teruk susulan penutupan aktiviti seni bagi mengurangkan risiko penularan pandemik ini.


''Justeru, sebagai sebahagian daripada usaha pemulihan negara, kementerian menerusi CENDANA mengadakan kerjasama dengan pihak swasta bagi membina serta menyemarakkan semula ekonomi sektor seni dan budaya agar lebih ramai individu berminat dengan seni serta seterusnya dapat bersama-sama mengharungi situasi yang amat mencabar ini,'' katanya dalam kenyataan di sini.


Susulan pelancaran Art In The City (AITC) 2021 oleh kementerian pada 30 September 2021, CENDANA mengumumkan 54 rakan usaha sama AITC 2021 yang turut menjayakan festival selama tiga bulan bermula Oktober sehingga Disember 2021.


AITC 2021 yang diadakan bersempena dengan Tahun Ekonomi Kreatif Antarabangsa Untuk Pembangunan Mampan menawarkan pelbagai aktiviti bertujuan mempromosikan kepelbagaian artistik, kreativiti, keprihatinan dan imaginasi rakyat Malaysia.


Tan Sri Annuar Musa menyampaikan ucaptama semasa majlis mengumumkan rakan usahasama AITC 2021 di Kuala Lumpur pada 12 November 2021.


Pengerusi MyCreative Ventures Group, Ts. Noor Azmi Mat Said turut menekankan kerjasama antara sektor swasta dan awam dalam memperkasakan sektor seni dan budaya yang menjadi tunjang tradisi, warisan, dan kebanggaan negara.


"Kerjasama strategik ini boleh dijadikan penanda aras kepada pihak lain sebagai penghubung antara Kerajaan, pihak swasta dan pemain industri. Sinergi ini mampu menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi negara selaras dengan Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) untuk semua pihak berkepentingan dalam mana-mana industri khususnya sektor seni dan budaya sebagai salah satu tonggak MyCreative Ventures Group,'' ujarnya.


Selepas Forum Ekonomi Kreatif Kuala Lumpur baru-baru ini, pelancaran Studio C bersempena Pameran Seni Hotel CIMB, Kelas Seni Terbuka, Bengkel Potongan Cukai Korporat, pelancaran kerjasama TripART, AITC 2021 kini terus menyajikan KLWKND bertujuan merapatkan Keluarga Malaysia melalui seni serta melihat Kuala Lumpur dari dimensi sejarah, seni, reka bentuk, budaya dan warisan.


Program KLWKND merangkumi beberapa kluster utama ‘festival village’ bertempat di The Godown KL, Panggung Bandaraya DBKL, Pasar Seni, REXKL, GMBB, Muzium Telekom serta beberapa lokasi lain di pusat bandar Kuala Lumpur bermula daripada 25 sehingga 28 November 2021 yang diselaraskan oleh pengarah festival tersohor, Joe Sidek.


KLWKND yang bersifat inklusif bertujuan untuk merakyatkan seni dengan usaha sama pelbagai sektor. Antara pengisian menarik AITC 2021 ialah “The Light Project” yang akan menerangi beberapa lokasi yang mengambil bahagian bermula November 2021 sehingga Mac 2022 dengan kerjasama Think City dan pihak berkuasa tempatan iaitu di Kuala Lumpur (dengan kerjasama Interstellar Studio-Jun Ong), Batu Pahat, Kuching, Ipoh, Melaka, dan Butterworth.


Program ini juga akan diserikan dengan persembahan unik sebagai memberi inspirasi kepada negara khususnya sektor seni dan budaya melalui harapan dan cahaya supaya dapat bangkit daripada pandemik ini.


Selain itu, PUSAKA dan Svara turut bekerjasama mengadakan The Symposium of Reflection and Reimagining: National Cultural Congress 1971 - 50 tahun kemudian, yang akan mengumpulkan pengamal dan pakar dari pelbagai komuniti dalam bidang budaya bermula 11 sehingga 12 Disember 2021, bertujuan untuk menilai perkembangan budaya di Malaysia dan penggubalan serta pelaksanaan Dasar Kebudayaan Kebangsaan.


Simposium ini terzahir susulan perbincangan awal dalam talian pada 13 Ogos 2021 di Facebook CENDANA Malaysia dan dijadualkan berlangsung di Universiti Malaya (UM).


Aktiviti selama tiga bulan ini akan berakhir dengan pameran seni media – SENSORii yang merupakan dunia cahaya tanpa sempadan, persembahan warna dan bunyi yang menampilkan karya Lim Kok Yoong dengan kerjasama KC Tan, Flux 28, Wee Jia Foong, Ashly Nandong, Azarikh Amran.


Ia akan direalisasikan dengan kerjasama pengarah artistik Yap Sau Bin, penerbit Melissa Teoh dan muzik oleh Ahmad Muriz Che Rose, bermula 1 sehingga 28 Disember 2021 di REXKL.


Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif CENDANA, Izan Satrina memaklumkan bahawa kesemua program yang disusun di bawah AITC disediakan secara percuma oleh CENDANA bertujuan mendekatkan seni kepada Keluarga Malaysia.


Selaras dengan itu, bagi memudahkan Keluarga Malaysia mengelilingi serta menikmati bandar Kuala Lumpur semasa berlangsungnya AITC 2021, CENDANA berkolaborasi dengan pihak Grab menawarkan kod promosi diskaun.


Sementara itu, Yoodo pula memainkan peranan mempromosi program-program melalui perkhidmatan pemasaran serta ‘influencer’ terpilih.


Prasarana juga berperanan mempromosi program AITC 2021 di stesen dan sekitar bandar melalui bas. Usaha sama pelbagai pihak ini, termasuk Creador Foundation, Think City, Facebook, Yayasan TM dan pelbagai rangkaian adalah untuk memperkasa serta menyampaikan naratif dan menyemarakkan pelbagai lapisan kreatif KLWKND.


Kerjasama di antara CIMB, Yayasan Hasanah dan CENDANA baru-baru ini juga, memberi impak positif apabila lebih daripada 100 program dinamik, berwarna-warni dan yang optimis pada tahun ini.


Usaha CENDANA ini telah dimulakan pada tahun 2018 merangkumi pelbagai jenis muzik, tarian, kraf, teater, tarian filem, makanan, warisan, sejarah dan banyak lagi yang dijalankan sepanjang tempoh tiga bulan dari Oktober hingga Disember 2021.


CENDANA komited menerokai impak seni, mengetengahkan kekuatannya mengatasi cabaran, di samping bertujuan memupuk peranannya sebagai ‘jiwa negara’ bagi masa depan dengan pembukaan semula industri kreatif serta kolaborasi bersama komuniti seni dan usaha sama rakan perniagaan serta kerajaan.


AITC 2021 merupakan salah satu program utama CENDANA yang berfungsi sebagai usaha strategik mempromosikan komuniti seni tempatan dan melibatkan orang ramai melalui seni Malaysia, dengan matlamat meraikan pelbagai kreativiti.


CENDANA mengajak Keluarga Malaysia untuk melihat negara melalui lensa seni dan budaya.



* Artikel asal disiarkan di DagangNews.com.