• newsatmy

Cetak rompak berleluasa kerana industri hiburan tidak dihormati - Afdlin

5 Mac 2021

KUALA LUMPUR: Kegiatan cetak rompak masih terus berleluasa kerana industri hiburan tidak dihormati oleh kerajaan dan masyarakat.


Menurut Pengarah, Pelakon dan Penyanyi Datuk Afdlin Shauki industri hiburan juga sepatutnya dihormati kerana ia juga satu kerjaya profesional.


Afdlin menjelaskan jika industri hiburan dihormati, negara ini akan menjadi sepertimana negara-negara maju yang menganggap industri hiburan sebagai satu kerjaya profesional yang membekal perkhidmatan yang sangat penting kepada masyarakat.


"Jika ianya dihormati, kita akan menjadi seperti Australia, seperti Amerika Syarikat, seperti negara-negara maju yang menghalang perkara ini berlaku.


"Di negara-negara maju, pemerintah menghalang sekeras-kerasnya aktiviti cetak rompak kerana kreativiti rakyat mereka adalah sangat penting kepada mereka," katanya kepada Astro AWANI.


Jelas beliau, masyarakat sememangnya mahukan hiburan tetapi semuanya dimahukan secara percuma kerana rasa tidak hormat kepada industri tersebut.


Katanya, industri hiburan sepatutnya dihormati kerana ia turut menyumbang kepada pendapatan negara dengan hasil yang diperolehi.


"Masyarakat perlukan hiburan, mereka mahu mendengar lagu, mahu menonton tv, tetapi mereka berasakan itu semua patut ditonton atau didengar secara percuma.


"Kenapa ini berlaku? Jawapannya sebabnya kerajaan membenarkan ini berlaku, kerajaan membenarkan perkara-perkara ini berlaku," katanya lagi.


Afdlin menyeru agar masyarakat menghormati industri hiburan dengan membeli barangan atau produk asli.


Selain itu, beliau juga mendesak agar kerajaan bertindak tegas terhadap kegiatan cetak rompak bukan terus-menerus membenarkan kegiatan cetak rompak.


Baru-baru ini, seorang pengarah syarikat didenda RM30,000 oleh Mahkamah Sesyen Shah Alam selepas didapati bersalah memiliki enam kotak media yang mempunyai perisian tidak sah mengikut Seksyen 232 (2) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998. - AA