top of page
  • newsatmy

Cetak rompak: Kenakan hukuman paling maksimum - Freddie Fernandez

10 Mac 2021

KUALA LUMPUR - Penguatkuasaan undang-undang berkaitan isu pemilikan hasil karya secara haram perlu diperketatkan dengan pelaksanaan hukuman yang lebih berat.


Atas sebab itu, Presiden Persatuan Karyawan Malaysia (Karyawan), Datuk Freddie Fernandez menggesa agar pihak berkuasa turut meletakkan fokus kepada hukuman yang diterima pesalah.


"Undang-undang dan hukuman memang ada, tetapi penjenayah tidak didapati bersalah. Apabila bawa kes ke mahkamah, macam-macam komplikasi akan timbul.


"Pemilik hak cipta perlu naik ke mahkamah dan kadangkala mereka tak boleh beri komitmen untuk itu. Jadi penjenayah terlepas dengan senang.


"Kita perlukan sistem yang lebih efektif dalam hal ini supaya pesalah boleh diberikan hukuman paling maksimum.


"Itu yang kurang sekarang. Kalau kita bawa kes kepada polis atau mahkamah, tetapi di hujungnya pesalah hanya didenda RM1,000, esoknya mereka akan buat lagi," katanya dalam temu bual bersama Astro AWANI hari ini.


Freddie juga berpendapat perlunya ada satu badan yang berperanan untuk mengawal selia industri muzik, seperti yang dilakukan oleh Perbadanan Filem Nasional (Finas).


Ini kerana, industri muzik, tegas beliau, lebih merasakan impak cetak rompak berbanding industri perfileman dan televisyen.


"Kami berharap adanya badan yang boleh menjaga kepentingan penggiat muzik, terutama dalam waktu seperti sekarang, di mana ramai yang hilang pendapatan.


"Penyanyi sekarang sudah tidak ramai hasilkan CD (cakera padat) secara fizikal, semuanya melalui platform penstriman.


"Tetapi kita tahu teknologi digital ini dengan senangnya dimanipulasikan dan orang ramai boleh dapatkan lagu tanpa perlu bayar satu sen pun.


"Kalau adanya badan itu nanti, bukan sekadar cetak rompak, tetapi isu-isu lain yang berkaitan juga boleh dibawa.


"Sebagai contoh, aspek pendidikan seni di sekolah atau institusi pendidikan boleh diperkasakan, sekaligus membantu menghasilkan lebih ramai penggiat seni berkualiti," tambah beliau lagi.


Orang ramai juga perlu memainkan peranan kerana permintaan merupakan salah satu penggerak utama cetak rompak dan jika ia berterusan, masa depan penggiat dan industri seni akan terjejas.


"Apabila mereka sudah tidak dapat lagi pulangan, yang buat muzik tak nak hasilkan muzik, pembikin filem pula tidak mahu lagi menerbitkan filem.


"Kesannya, Malaysia bukan saja akan kehilangan pendapatan dari sektor seni dan hiburan, tetapi juga lama-kelamaan kita akan kehilangan hasil karya yang menggambarkan seni dan budaya negara," ujarnya. - AA


bottom of page