• newsatmy

Cheng Hoe gembira pemain kerja keras sehingga ke akhir perlawanan

16 Jun 2021

KUALA LUMPUR: Ketua Jurulatih Harimau Malaya Tan Cheng Hoe gembira, atas kerja keras dan kemenangan 1-0 anak buahnya ke atas Thailand dalam kempen kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 di Stadium Al Maktoum, Dubai, pada Selasa Malam (awal pagi Rabu di Malaysia).


Cheng Hoe memuji prestasi baik dan komitmen pemainnya atas kejayaan mendapat tiga mata dalam perlawanan hidup atau mati menentang pasukan Thailand itu, sekali gus memastikan pasukan negara mendapat tempat dalam pusingan selanjutnya pada Kelayakan Piala Asia 2023.


"Ia tentunya satu perlawanan yang sukar untuk kami, pemain berusaha bermatian bagi mengelakkan Thailand menjaringkan gol sehingga ke saat pengadil meniupkan wisel (penamat)," katanya pada sidang media selepas perlawanan di Dubai seperti yang dikongsikan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) hari ini.


Muhammad Safawi Rasid yang masuk pada separuh masa kedua menjadi wira Harimau Malaya, apabila beliau menjaringkan satu-satunya gol, menerusi sepakan penalti pada minit ke-52.


Namun walaupun menang, jurulatih berusia 53 tahun itu agak kecewa kerana beberapa peluang yang terbuka, gagal disempurnakan pemainnya bagi mendapatkan permainan lebih selesa terhadap pasukan dibimbing Akira Nishino itu.


Kemenangan ini merupakan yang kedua bagi Cheng Hoe ke atas Thailand, dan menjadikan perlawanan tanpa kalah terhadap Gajah Perang kepada empat perlawanan, sejak mengambil alih tugasnya pada Disember 2017.


Dalam masa yang sama, Cheng Hoe percaya pemainnya dapat pengalaman berguna dan belajar berikutan kegagalan mereka untuk layak ke Piala Dunia 2022, namun bekas jurulatih Kedah itu berazam untuk kembali dengan lebih kuat, bagi menghadapi cabaran pusingan selanjutnya kelayakan Piala Asia 2023.


Sementara itu Muhammad Safawi amat gembira melihat usaha rakan sepasukannya dengan bermain sepenuh mati bagi memastikan Harimau Malaya mengaum semula, dan menghidupkan semula impian Piala Asia 2023 mereka.


Dalam satu lagi perlawanan Kumpulan G, Emiriah Arab Bersatu (UAE) menamatkan musim tanpa kalah Vietnam, selepas mereka menang ke atas pasukan itu 3-2 di Stadium Zabeel.

Malaysia menamatkan kempen kelayakan dalam Kumpulan G di tempat ketiga dengan 12 mata, dengan UAE teratas dengan 18 mata dan Vietnam kedua (17 mata).


Thaiand di tempat keempat dengan sembilan mata, manakala Indonesia yang hanya memperolehi satu mata, menduduki tempat tercorot.



-- BERNAMA