- newsatmy
Cinta Syamel, Ernie selamanya
27 Mac 2021 KUALA LUMPUR: 'Bila berdua, bahagia rasa, dirimu hanya milikku selamanya.'
Bait lirik lagu Aku Cinta nyanyian pasangan duet popular, Syamel dan Ernie Zakri cukup menterjemahkan perasaan dua insan ini apabila selamat diijabkabulkan sebagai suami isteri di Masjid Puncak Alam, Selangor, pada jam 10.30 pagi, semalam.
Pada majlis tertutup itu, Syamel atau nama sebenar, Syameel Aqmal Fodzly, 27, dinikahkan Penolong Pendaftar Perkahwinan Masjid Puncak Alam, Zainal Abidin Sulaiman berwalikan bapa pengantin perempuan, Zakri Ahmad.
Siapa sangka, perkenalan yang bermula di pentas nyanyian itu berlarutan hingga ke jenjang pelamin.
Empat tahun menyulam benang cinta secara rahsia, Syamel dan Ernie akhirnya membawa hubungan mereka ke fasa seterusnya selepas yakin pasangan yang dipilih adalah tepat.
Berkongsi perasaan saat bakal bergelar suami, penyanyi Kau Pun Sama ini bukan sahaja berdebar, malah mengaku gagal menahan rasa sebak .
"Masa mula-mula hendak masuk ke dewan masjid, rasa berdebar. Tetapi selepas majlis akad nikah selesai, barulah rasa lega.
"Saya bersyukur kerana walaupun terikat dengan prosedur operasi standard (SOP), namun, majlis lancar. Cuaca redup juga bagai merestui majlis kami ini.
"Pada awalnya, saya sudah tanamkan dalam diri untuk tidak menangis pada majlis pernikahan.
"Siap minta maaf dan peluk cium kedua-dua orang tua lebih awal semata-mata tak mahu dilihat bersedih.
Syamel dan Ernie bertunang, Ogos tahun lalu selepas berkenalan ketika menyertai program realiti, Duo Star, empat tahun lalu. Foto Ihsan Sweetpictures_kl
"Namun, sebaik terpandang kelibat datuk saudara yang wajahnya mirip datuk kesayangan yang sudah meninggal dunia, dua tahun lalu, saya tidak mampu menahan sebak hingga basah wajah dengar air mata," katanya kepada BH Online.
Seperti yang pernah dinyatakan, Syamel dan Ernie mahu mengabadikan momen manis melalui sebuah lagu yang dicipta khas.
Menjelaskan hasrat mereka itu, Syamel berkata, lagu yang berjudul Goodbye Hello itu bakal berkumandang buat julung kalinya pada majlis resepsi yang dianjurkan pada 3 April depan.
"Lagu yang diberi judul Goodbye Hello itu sudah pun siap sepenuhnya dan akan dinyanyikan pada majlis resepsi kami.
"Konsep lagu ini lebih kepada romantis dan istilah 'goodbye' dan 'hello' adalah perkataan yang sering kami ucapkan ketika bersama.
"Setiap kali bila kami berjumpa dan dan selepas itu kena pergi tempat lain, kami akan ucapkan 'goodbye'.
"Tetapi disambung dengan 'hello jumpa lagi' sebagai tanda kami sukar untuk berpisah.
"Boleh dikatakan lirik lagu ini memang 'sweet' dan sesuai dengan tema perkahwinan," katanya yang segak mengenakan baju Melayu warna putih rekaan Shanell Harun.
Mengenai hasrat untuk menimang cahaya mata, penyandang trofi Artis Baharu Terbaik, Anugerah Industri Muzik (AIM) Ke-22 ini tidak menolak andai rezeki datang lebih awal.
"Saya dan Ernie memang sukakan budak-budak. Justeru kalau dikurniakan rezeki cahaya mata lebih awal, kami terima dengan penuh kesyukuran.
"Berapa yang Allah hendak beri, kami tidak kisah. Kami juga tidak berhasrat untuk mengehadkan bilangan anak.
"Pada kami, anak itu pembawa rezeki. Kalau dapat ramai anak pun tak mengapa," katanya.
Ernie yang anggun mengenakan persalinan rekaan Amaze bersyukur kerana majlis dirancang sempurna.
"Kami sangat lega kerana banyak cabaran dilalui apabila Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan. Jadi, banyak perkara harus dibuat mengikut SOP ditetapkan.
"Sedih kerana tidak ramai ahli keluarga dapat hadir kerana perlu patuh SOP. Namun, saya bersyukur kami sah bergelar suami isteri dengan sekali lafaz.
"Kami berharap semua pihak dapat mendoakan yang baik-baik untuk kami," ujar penyanyi lagu Gundah ini.
Mengenai tanggungjawab sebagai isteri, pemilik nama lengkap Nur Ernie Shahirah Zakri ini mengharapkan urusan itu dipermudahkan.
"Insya-Allah doakan semoga segala urusan saya dan Syamel dipermudahkan terutama selepas berkahwin kerana kami ada kerjaya sama. Jadi, pemahaman itu lebih sedikit untuk kami.
"Daripada segi kerjaya, kami akan terus aktif, malah ia lebih mudah kerana sekarang kami boleh bergerak bersama... Alhamdulillah.
"Kehidupan selepas kahwin pula, sama saja seperti orang lain. Masing-masing akan cuba sesuaikan diri," katanya yang meraih trofi Vokal Terbaik pada Anugerah Juara Lagu (AJL) Ke-35, baru-baru ini.
Pada majlis nikah, Syamel menyerahkan lima dulang hantaran berbalas tujuh dulang manakala mas kahwin bernilai RM300 serta seutas gelang tangan berlian. Bagaimanapun jumlah wang hantaran tidak dinyatakan.
Pasangan yang pernah meraih trofi Artis Kolaborasi/Duo/Kumpulan Popular, Anugerah Bintang Popular (ABPBH) Ke-31 itu bertunang, Ogos tahun lalu selepas berkenalan ketika menyertai program realiti, Duo Star, empat tahun lalu. -BH Online
Comments