top of page
  • newsatmy

ConocoPhilips sahkan pelantar di Sarawak tenggelam

5 May 2021

KUCHING: ConocoPhilips Sarawak Ltd, syarikat penerokaan minyak dan gas multinasional hari ini mengesahkan pelantar penggerudian yang dicarternya, NAGA 7, ditenggelam pada Isnin di luar pesisir Sarawak, dekat Miri, kira-kira 840 kilometer utara dari sini.


Kejadian itu berlaku 2.45 petang ketika pelantar berkenaan berada di Salam-3, kira-kira 260 kilometer di luar pesisir Miri dan Pasukan Tindak Balas Kecemasan syarikat telah digerakkan dengan segera setelah semua petugas diarahkan meninggalkannya.


"Kami mengesahkan bahawa semua orang yang berada di atas pelantar telah dipindahkan dari NAGA 7 tanpa sebarang kecederaan.


"Majoriti kru telah kembali ke Miri, kecuali mereka yang dekat lokasi untuk respons terhadap kejadian itu," menurutnya dalam satu kenyataan.


Setakat 7.45 pagi hari ini, NAGA 7 telah tenggelam.


Sementara itu, maklumat yang diperoleh dari laman Facebook Seafarer Life memaklumkan 101 petugas berada di atas pelantar ketika kejadian dan dua kapal, Perdana Marathon dan Armada Tuah 305 telah menyelamatkan mereka.


NAGA 7, yang dimiliki oleh syarikat senarai awam Malaysia, Velesto Energy Bhd dibina pada 2015 dengan kemampuan beroperasi pada kedalaman hingga 114 meter dan penggerudian hingga 9,144 meter.


-BERNAMA

Comments


bottom of page