• Arissa

COVID-19: Adakah anak saya selamat untuk divaksinasi?

9 Jun 2021

CHINA menjadi negara pertama di dunia yang meluluskan penggunaan kecemasan vaksin COVID-19 kepada kanak-kanak seawal usia tiga tahun.


Sementara Singapura, Hong Kong dan beberapa negeri di Amerika Syarikat (AS) pula membenarkan penggunaan vaksin COVID-19 terhadap kanak-kanak berusia 12 tahun dan ke atas.


Baru-baru ini, Pharmaniaga mendedahkan pihaknya menunggu kelulusan yang diperlukan sebelum dapat memberikan vaksin Sinovac COVID-19 kepada kanak-kanak berusia di antara tiga hingga 17 tahun.


Tentunya pelbagai persoalan bermain di fikiran golongan ibu bapa. Bagi meleraikan semua persoalan itu, berikut jawapan kepada semua ketidakpastian seperti dilaporkan di portal John Hopkins Medicine:


Adakah selamat untuk anak saya mendapat vaksin COVID-19?


Pentadbiran Makanan dan Ubat-ubatan Amerika Syarikat (FDA) dan Pusat Pencegahan dan Kawalan Penyakit (CDC) baru-baru ini memberi kebenaran untuk meluaskan penggunaan kecemasan vaksin Pfizer kepada mereka yang berusia 12 hingga 15 tahun.


Ini bermakna ujian klinikal yang dijalankan menunjukkan vaksin tersebut selamat dan berkesan kepada golongan usia terbabit.


Buat masa ini, ujian keselamatan dan keberkesanan bagi memberi kebenaran penggunaan vaksin kepada kanak-kanak berusia dua tahun ke atas bagi lebih dari satu jenis vaksin sedang dijalankan.


Persoalan sama ada ia sesuai digunakan kepada mereka atau sebaliknya, akan terjawab dalam beberapa bulan akan datang.


Apakah perlu saya pertimbangkan vaksin COVID-19 kepada anak saya?


Kenapa tidak? Seperti orang dewasa, kanak-kanak juga boleh menjadi pembawa virus COVID-19 kepada orang lain.


Walaupun gejala virus itu ringan berbanding dewasa namun dalam beberapa kes komplikasinya berpanjangan.


Virus ini boleh juga membawa kematian pada kanak-kanak, tetapi ia jarang berlaku jika dibandingkan dengan golongan dewasa.


Alasan lain, vaksin bertindak sebagai pelindung kepada anak anda terutamanya ketika mereka kembali ke sekolah.


Adakah akan ada komplikasi spesifik kepada anak-anak akibat daripada pengambilan vaksin?


FDA dan CDA mengambil serius segala bentuk langkah keselamatan ke atas semua peringkat usia termasuk kanak-kanak.


Data diperoleh daripada beberapa ujian klinikal sebelum vaksin itu diluluskan penggunaannya.


Pada masa yang sama, agensi bertanggungjawab bekerjasama dengan pengeluar vaksin bagi memantau tahap keselamatan vaksin pada setiap masa.


Apakah kesan sampingan selepas mengambil vaksin COVID-19 sama kepada semua kanak-kanak?


Secara amnya, ya. Pfizer melaporkan kesan sampingan adalah sama kepada kanak-kanak mahupun golongan dewasa.


Mereka mungkin akan merasa sakit di tempat suntikan, sakit otot, sakit sendi, rasa letih, demam dan mungkin menggigil.


Pun begitu, setakat ini laporan mengatakan kesan sampingan itu hanya bersifat sementara dan selalunya hilang dalam tempoh 48 jam.


Bilakah waktu yang sesuai bagi anak saya untuk mendapat vaksin COVID-19?


Buat masa ini FDA dan CDC meluluskan penggunaan vaksin Pfizer kepada kanak-kanak berusia 12 tahun ke atas. Ia disahkan selepas beberapa ujian.


Meskipun ujian mendapati penggunaan vaksin COVID-19 adalah selamat untuk kanak-kanak bawah 12 tahun, namun ia masih lagi dalam penilaian FDA dan CDC.


Perkara ini mungkin akan mengambil sedikit masa. Pun begitu, pengeluar vaksin sudah memulakan ujian klinikal ke atas kanak-kanak berusia 12 tahun ke bawah dengan mengambil pandangan pakar.


Boleh saya mendapat COVID-19 daripada anak saya?


Sudah tentu. Walaupun data menunjukkan transmisi virus COVID-19 daripada kanak-kanak kepada orang dewasa ada rendah namun mereka masih boleh menjadi pembawa.


Apakah anak saya boleh dijangkiti COVID-19 jika ke sekolah?


Sekiranya lebih ramai dilindungi dengan vaksin, maka kadar keterjangkitan adalah rendah. Pada masa yang sama, jangkitan boleh dielakkan dengan pematuhan prosedur operasi standard (SOP) seperti pemakaian pelitup muka serta menjaga penjarakan fizikal.


-Awani