• newsatmy

COVID-19: Ceroboh 'laluan tikus', 11 individu dikompaun RM5,000

11 Mei 2021

KEMAMAN: Ingin mendapatkan juadah berbuka dan juga mahu membeli makanan ikan peliharaan antara alasan yang diberikan untuk merentas masuk ke daerah Kemaman dengan menggunakan 'laluan tikus'.


Bagaimanapun alasan 'klise' itu memakan diri selepas 11 individu masing-masing dikenakan kompaun sebanyak RM5,000 pada Isnin.


Kesemua individu terbabit yang berumur 18 hingga 46 tahun ditahan dalam satu operasi khas yang dilakukan Ibu Pejabat Daerah (IPD) Kemaman di kawasan sempadan daerah Kemaman dan Cherating, Pahang.


Ketua Polis Daerah Kemaman, Superintendan Hanyan Ramlan berkata operasi yang dilaksanakan itu bagi mengesan dan menghalang individu dari kawasan dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di Pahang daripada memasuki daerah Kemaman.


Menurut Hanyan, kesemua yang ditahan itu merupakan penduduk yang berada bersebelahan daerah Kemaman dan tidak mempunyai sebarang dokumen kebenaran untuk melakukan pergerakan rentas negeri ketika diperiksa.


"Kita mengesan penduduk Kampung bersebelahan ini sering menggunakan 'laluan tikus' terbabit untuk ke daerah Kemaman bagi mengelak sekatan jalan raya yang oleh PDRM yang terletak kira-kira 5 kilometer dari laluan tikus tersebut.


"Bila ditahan antara alasan yang diberikan hendak membeli juadah berbuka puasa di bazar dan sebagainya," katanya ketika dihubungi.


Jelasnya kesemua mereka kemudiannya dibawa ke IPD Kemaman untuk diambil keterangan sebelum diberikan kompaun sebanyak RM5,000.


Sementara itu, Hanyan berkata pihaknya akan mengetatkan kawalan di tujuh 'laluan tikus' di daerah berkenaan.


Beliau turut mengingatkan orang ramai agar tidak melakukan pergerakan rentas negeri sekiranya tidak mendapat kebenaran daripada pihak PDRM atau berhadapan dengan tindakan yang lebih tegas.


-Astro Awani