• newsatmy

COVID-19: Contohi AS, UK turunkan kes melalui pemberian vaksin - Pakar ekonomi

28 Mei 2021

KUALA LUMPUR: Malaysia perlu mencontohi Amerika Syarikat dan United Kingdom yang berjaya menurunkan kes COVID-19 dengan ketara, melalui pemberian sekurang-kurangnya satu dos pemberian vaksin kepada 50 peratus rakyat mereka.


Profesor ekonomi di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) Graduate School of Business (UKM-GSB) Prof Tan Sri Noor Azlan Ghazali berkata kedua-dua negara yang mencatat zon merah di hampir keseluruhan negara masing-masing pada awal tahun ini, sudah mencapai hampir 90 peratus zon hijau pada hari ini.


"Vaksin COVID-19 pastinya satu perkara amat penting (dalam pemulihan). Kerajaan perlu pastikan bekalan dan pengagihannya dilaksanakan dengan baik," katanya ketika ditemu bual menerusi telefon dalam program Malaysia Petang Ini bertajuk Vaksin: Polisi Pulih Ekonomi yang disiarkan Bernama TV hari ini.


Noor Azlan bagaimanapun berkata pada masa ini peratus rakyat Malaysia yang mendaftarkan diri untuk vaksin masih rendah daripada sasaran dengan hanya Lembah Klang mencatat jumlah pendaftaran yang memuaskan, sedangkan beberapa negeri merekodkan pendaftaran sekitar 30 peratus.


Beliau berkata penularan COVID-19 dapat dikawal menerusi pemberian vaksin secara meluas dan kawalan kendiri dilakukan oleh masyarakat sendiri mampu memastikan ekonomi negara dapat digerak sepantas mungkin selain mengelakkan impak yang buruk kepada ekonomi rakyat.


Katanya kerajaan juga perlu mencari jalan untuk sekali lagi menawarkan pakej bagi membantu kumpulan yang mudah terjejas ekoran pelaksanaan prosedur operasi standard (SOP) yang ketat pada masa ini.


Pakej bantuan kali ini boleh ditawarkan dalam dimensi berbeza selain tunai seperti cukai, sewa dan utiliti, katanya.


-- BERNAMA