• newsatmy

COVID-19: Dakwaan kematian di Taman Impian Emas, JAINJ tunggu laporan penuh KKM

4 Mei 2021

JOHOR BAHRU: Jabatan Agama Islam Negeri Johor (JAINJ) sedang menunggu laporan penuh daripada Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) berhubung seorang imam, bilal dan pengerusi di sebuah masjid di Taman Impian Emas, di sini yang didakwa meninggal dunia akibat COVID-19.


Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam Johor Tosrin Jarvanthi berkata pihaknya akan memaklumkan sebarang maklumat lanjut berhubung perkara itu kepada umum sebaik pihaknya menerima laporan penuh itu.


"Masjid berkenaan juga dalam masa sama telah ditutup selama tujuh hari dan kini tinggal baki tiga hari sahaja," katanya ketika ditemui pemberita selepas Majlis Pembayaran Zakat dan Kurniaan Bantuan Zakat Majlis Agama Islam Negeri Johor (MAINJ), di Pusat Konvensyen Antarabangsa Persada di sini pada Isnin.


Tosrin berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai kematian imam, bilal dan pengerusi di sebuah masjid di Taman Impian Emas yang tular di media sosial baru-baru ini kerana didakwa akibat COVID-19.


Semalam menerusi satu laporan berita, salah seorang ahli keluarga kepada imam berkenaan juga mendakwa kematian abangnya itu adalah akibat daripada jangkitan COVID-19 pada 28 April lepas.


Terdahulu, Tunku Mahkota Johor Tunku Ismail Sultan Ibrahim yang juga Pengerusi MAINJ berkenan berangkat menyempurnakan Majlis Pembayaran Zakat dan Kurniaan Bantuan Zakat itu yang turut dihadiri Menteri Besar Johor Datuk Ir Hasni Mohammad.


Dalam majlis berkenaan, MAINJ juga menerima zakat perniagaan daripada Johor Corporation iaitu sebanyak RM5.76 juta, manakala Lembaga Tabung Haji pula sebanyak RM9.25 juta.


Sementara itu, Tosrin berkata pada tahun ini MAINJ memberikan zakat berjumlah RM500,000 kepada Persatuan Bulan Sabit Merah untuk tujuan menguruskan golongan gelandangan di negeri ini manakala RM210,000 diberi kepada pertubuhan, rumah-rumah kebajikan dan sekolah pendidikan khas.


-- BERNAMA